Subsidi telur ayam ditamatkan – harga nasi lemak, roti telur akan naik lagi?

SUBSIDI telur ayam yang selama ini menjadi ‘penghalang kenaikan ’ harga untuk makanan pilihan rakyat marhaen itu bakal ditamatkan secara berperingkat mulai esok. Langkah ini, menurut kerajaan, adalah wajar berdasarkan bekalan yang kini stabil dan mencukupi.
Namun, soalnya – adakah kestabilan bekalan bermakna kestabilan harga?
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, memaklumkan bahawa pemantauan akan diteruskan oleh KPDN dan KPKM bagi mengelakkan sebarang lonjakan harga atau kekurangan bekalan.
“Jumlah stok bekalan telur pada waktu ini lebih daripada mencukupi,” kata beliau, sambil menyokong keputusan KPKM untuk menamatkan subsidi atas dasar penjimatan dan kelangsungan industri.

Daripada RM0.10 kepada RM0.05, kemudian kosong
Mulai 1 Mei, subsidi telur ayam dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, sebelum dihapuskan sepenuhnya pada 1 Ogos ini. Kawalan harga juga akan ditamatkan.
KPKM dalam kenyataan rasmi menyebut bahawa industri telah memberi komitmen untuk mengekalkan pengeluaran, dan langkah ini penting bagi menjamin kelangsungan jangka panjang serta mengurangkan tekanan ke atas kewangan negara.
Namun bagi rakyat yang sedang bergelut dengan pelbagai kos hidup – daripada minyak masak hingga yuran taska – pengumuman ini menimbulkan tanda tanya: adakah subsidi yang ditarik akan segera diganti dengan harga yang melambung?
KPKM memberi jaminan bahawa langkah intervensi akan diambil jika wujud kesan kepada kos sara hidup. Tetapi, tiada perincian diberikan – adakah dalam bentuk bantuan tunai? Harga siling baharu? Atau hanya pantauan?
Lebih penting, apakah kerajaan bersedia menyikap kekuatan kartel atau pemain industri yang mampu mengawal harga barang keperluan seperti telur ini, seperti yang pernah dibangkitkan sebelum ini?
Rakyat kekal memerhati – antara realiti dan retorik
Bagi sebahagian rakyat, subsidi bukan sekadar angka – ia soal sarapan pagi anak-anak, kos harian di kedai makan, dan beban keluarga berpendapatan rendah. Di sebalik istilah “penjimatan fiskal”, ada dapur rakyat yang bergelut.
Apakah langkah ini bakal menjadi satu lagi episod “subsidi ditarik, harga naik, rakyat dipujuk dengan janji manis”? Kita tahu, kenaikan harga makanan dengan telur seperti nasi lemak, roti telur, telur dadar dan sebagainya sudah tentu tidak dapat dibendung.
Masa akan menentukan — sama ada janji “bekalan stabil, harga terkawal” menjadi realiti, atau sekadar telur kosong tanpa isi.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews
–