Biarkan sahaja jika Pearly Tan, Thinaah mahu bergerak profesional

JIKA pasangan beregu wanita utama negara, M. Thinaah dan Pearly Tan, hendak keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak profesional, biarkan sahaja! Biar mereka pilih jalan sendiri tentukan masa hadapan.
Itu bukan kata penulis. Ia adalah kata-kata Datuk Razif Sidek, mantan pemain beregu utama negara ketika berpasangan dengan adiknya, Jalani Sidek beberapa dekad lalu. Kombinasi dua beradik ini adalah antara pasangan paling digeruni ketika itu.
Razif hairan kenapa Thinaah dan Pearly terlalu lama membuat keputusan. Bagi Razif, ‘bulu tangkis’ kini berada di dalam gelanggang mereka. Mereka yang harus membuat keputusan muktamad samaada mahu terus berada dalam kelompok BAM atau angkat kaki.
Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, pula berkata, badan induk itu sudah menawarkan kontrak baharu kepada Thinaah dan Pearly. Namun kedua-duanya belum menandatanginya berbanding pemain-pemain lain.
Pasangan beregu itu seolah-olah sengaja mengelak membuat keputusan muktamad. Menurut Subramaniam, setiap kali datang utuk berunding, mereka membawa angka (gaji) berlainan. Nampak seperti ‘test market’ dan bermain tali dengan BAM.
Namun kata Subramaniam, BAM tidak akan tunduk kepada rentak mereka dan tidak akan mengkaji semula kontrak yang ditawarkan kepada pasangan itu. BAM akan bertemu kedua-duanya untuk keputusan muktamad selepas selesai Terbuka Thailand dari 13 hingga 18 Mei 2025.
Bagi BAM sudah cukup berunding dan pintu rundingan tidak harus dibiar dibuka terlalu lama. Khabarnya tawaran BAM menarik tetapi Thinaah dan Pearly nampaknya belum puas hati. Tidak diketahui apa yang mereka ‘demand’.
Oleh itu penulis rasa sudah sampai masa BAM keras dan bertegas. Kata orang putih ‘take it or leave it’. Tidak wajar pasangan ini terus bermain tali seperti meletakkan pistol di kepala BAM yang telah membentuk mereka jadi pasangan utama negara dan ranking keempat di dunia.
Tentu BAM sudah letih dengan karenah ini dan sedia menerima kemungkinan kehilangan Thinaah dan Pearly. Jika hati sebenarnya ingin jadi profesional seperti yang heboh dicanang, buatlah. Tapi jangan biarkan isu terus digantung tanpa tali.
Benar kata Razif, jika hendak pergi lepaskan sahaja. Bagi penulis, kenapa perlu dipaksa orang yang tidak sudi untuk terus tinggal di rumah kita. Sampai masa dia rasa hendak pergi, biarkan sahaja daripada sakit hati dan letih memujuk yang hasilnya belum tentu.
BAM tidak harus bersedih merintih jika kehilangan Thinaah dan Pearly. Mereka sudah pernah melaluinya. Sudah ada dahuluan atau precedent pemain meninggalkan BAM untuk jadi profesional, termasuk pemain perseorangan, Lee Zii Jia.
Biasanya setelah mencapai kejayaan di bawah naungan BAM, banyak tawaran diterima daripada pihak luar untuk pemain bertukar profesional. Tawaran tajaan memang boleh menyilaukan mata.
Namun bukan semua termakan pujukan. Datuk Lee Chong Wei yang bermula dalam BAM sehingga mencipta nama sebagai pemain perseorangan ternama di Malaysia dan dunia, tetap bersama BAM hingga akhir karier. Budi jasa BAM tidak dilupa.
Duduk di bawan naungan BAM lebih selesa, lebih terurus kerana BAM memiliki kemudahan serba lengkap. Kebajikan, kewangan dan latihan pemain dijaga dengan baik. Akademi Latihan disediakan, begitu juga dengan jurulatih. Pemain hanya perlu berusaha capai kejayaan.
Jika bertukar profesional, semua diurus sendiri. Gaji jurulatih, perbelanjaan latihan, kos menyertai pertandingan antarabangsa perlu diurus dan ditanggung sendiri. Prestasi yang dicapai semasa di dalam BAM juga belum pasti dapat dikecapi jika bertukar profesional.
Tidak mengapa. Itu masalah pemain BAM yang hendak angkat kaki. Tetapi dalam menghadapi isu ini, penulis berpendapat BAM mesti hentikan sikap murah hati, bagai melepaskan pemain dengan tangan terbuka.
Sepanjang yang penulis faham, seorang pemain yang masuk bernaung di bawah BAM, boleh dengan mudah meninggalkan badan induk itu, tambahan apabila telah mencipta nama, tanpa perlu membayar ganti rugi atau penalti.
BAM membelanjakan banyak wang ringgit membentuk pemain. Malah pemain beroleh banyak ganjaran jika menang pertandingan antarabangsa. Oleh itu tidak adil kepada BAM jika akhirnya pemain pergi begitu sahaja.
Untuk itu tiba masa BAM membuat peraturan ketat. Setiap pemain yang hendak meninggalkan badan induk itu mesti membayar sejumlah penalti tertentu. Ini sebagai pengajaran dan ingatan kepada pemain agar tidak jadi kacang lupakan kulit.
Pada masa hadapan apabila BAM mengambil pemain bernaung di bawahnya, wajibkan mereka tandatangani kontrak mesti bersama BAM untuk tempuh tertentu, atau hingga BAM melepaskan mereka. Tetapi jika pergi ketika masih dalam kontrak, mesti bayar penalti.
Dengan adanya peraturan ini, BAM akan lebih bersiap sedia menghadapi pemain yang pelbagai karenah. Badan induk itu mesti melindungi diri daripada ‘ugutan’ atau sepak terajang pemain.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews