Menteri Kerja Raya nafi terlibat skandal rasuah RM1.3 bilion Pan Borneo Sabah, buat laporan polis | Madani News

Menteri Kerja Raya nafi terlibat skandal rasuah RM1.3 bilion Pan Borneo Sabah, buat laporan polis

Menteri Kerja Raya nafi terlibat skandal rasuah RM1.3 bilion Pan Borneo Sabah, buat laporan polis


MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini menafikan dakwaan pembabitannya dalam skandal rasuah berkaitan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (WP35) yang tular menerusi satu saluran Telegram.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah, tidak berasas dan bermotifkan niat jahat terhadap dirinya selaku anggota pentadbiran kerajaan.

“Mesej berkenaan mengandungi tuduhan secara langsung terhadap saya sebagai Menteri Kerja Raya Malaysia, dengan dakwaan yang bersifat fitnah, tidak berasas dan berniat jahat. Saya menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan tersebut,” katanya.

Beliau berkata tuduhan tidak berasas itu bukan sahaja menjejaskan reputasinya secara peribadi, malah turut mencemarkan nama baik Kementerian Kerja Raya serta kerajaan Malaysia secara keseluruhan.

Lebih membimbangkan, mesej yang bermula di Telegram itu kini turut tersebar ke pelbagai platform media sosial lain yang boleh menimbulkan salah faham dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu satu laporan polis telah dibuat oleh Setiausaha Sulit Kanan beliau di Balai Polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur semalam bagi menafikan tuduhan tersebut dan meminta siasatan segera dijalankan.

“Saya akan memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama dalam apa jua bentuk bagi membantu siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa amalan menyebarkan fitnah tidak wajar dijadikan senjata politik atau alat untuk menjatuhkan seseorang demi kepentingan peribadi. – BERNAMA