Mohamad Ali cabar Ab Rauf buat laporan polis, nafi dirinya dalam audio tular kes rasuah | Madani News

Mohamad Ali cabar Ab Rauf buat laporan polis, nafi dirinya dalam audio tular kes rasuah

Mohamad Ali cabar Ab Rauf buat laporan polis, nafi dirinya dalam audio tular kes rasuah
TANGKAP layar video sidang akhbar Mohamad Ali Mohamad mengenai audio tular di Melaka.

BEKAS Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mencabar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh supaya tampil membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya dalam satu rakaman audio tular yang didakwa berkaitan kes rasuah.

Katanya, Ab Rauf tidak perlu terus berdolak-dalik berhubung isu yang didakwanya sebagai konspirasi jahat, rasuah dan fitnah terhadap dirinya.

“Bagi menamatkan cerita, saudara (Ab Rauf) mesti membuat satu laporan polis bagi menyatakan bahawa audio atau suara yang tular itu bukan suara daripada kamu.

“Tetapi kalau kamu cuba berdolak-dalik, saya ingin tegaskan bahawa secara terbuka, saya berani mengatakan bahawa suara yang tular itu adalah suara Rauf bin Yusoh,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis, memetik laporan Sinar Harian.

Hadir pada sidang akhbar tersebut ialah aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dan peguam, Rafique Rashid Ali.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Ab Rauf menyifatkan penyebaran beberapa audio tular di media sosial yang mirip suaranya sebagai perbuatan golongan kecewa selain fitnah terhadap dirinya.

Terdahulu, Mohamad Ali membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menyiasat audio tular berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 1.30 petang Khamis.

Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata bahawa audio yang tersebar luas itu telah menyebabkan dirinya ditahan selama empat hari untuk siasatan, namun beliau tetap menegaskan keyakinannya terhadap profesionalisme pihak polis dalam menjalankan siasatan secara adil.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews