Perlis haramkan vape berkuatkuasa 1 Ogos - MB | Madani News

Perlis haramkan vape berkuatkuasa 1 Ogos – MB

Perlis haramkan vape berkuatkuasa 1 Ogos – MB
KETAGIHAN vape dalam kalangan remaja membimbangkan. - Gambar hiasan

KERAJAAN Perlis mengharamkan penjualan vape atau rokok elektronik mulai 1 Ogos berikutan timbul beberapa kes yang mengancam nyawa golongan muda termasuk pelajar sekolah di negeri itu.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan larangan penggunaan vape yang diputuskan haram menerusi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengenai rokok elektronik itu pada 2022.

“(Sehubungan itu) mana-mana peniaga vape (di Perlis) kena siap sedia untuk cari perniagaan baharu, lesen dan operasi perniagaan mereka akan dihentikan (mulai 1 Ogos nanti),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kangar hari ini.

Mohd Shukri berkata meskipun tidak dapat mengekang penggunaan vape sepenuhnya, namun beliau optimis dengan tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik itu untuk menyelamatkan anak-anak muda daripada terjebak dengan pengambilan vape.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan melakukan operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan yang menjual vape itu selepas 1 Ogos nanti.

Sementara itu, dalam tempoh lima bulan sudah terdapat dua kes melibatkan penggunaan vape tersebut di mana pada November tahun lalu seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolah dipercayai akibat khayal selepas menghisap rokok elektronik tersebut.

Kelmarin, seorang pelajar tingkatan tiga berbuih mulut apabila diserang sawan selepas dipercayai menghisap vape di dalam tandas sebuah sekolah di negeri itu.

Menurut polis, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.

Ia susulan pendedahan terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape mengandungi bahan dicampur dadah yang jika tidak dikekang boleh menjadi ancaman baharu di negara ini

Setakat ini, Johor, Kelantan dan Terengganu kekal melarang dan tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan vape serta menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti berkenaan

Kerajaan Selangor pula dilaporkan akan meneliti keperluan mengharamkan penjualan vape dengan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan negeri akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews