Ramasamy didakwa, mengaku tak salah atas 17 pertuduhan

⋅
BEKAS Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas 17 pertuduhan pecah amanah dana milik Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) berjumlah RM859,131.29.
Ramasamy, 76, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan hakim Zulhazmi Abdullah.
Bagi 13 pertuduhan, Ramasamy sebagai Pengerusi LWHPP yang diamanahkan ke atas harta iaitu dana milik lembaga itu, didakwa melakukan pecah amanah dana dengan secara tidak jujur menyalahgunakannya untuk membuat bayaran RM779,131.29 secara berasingan melalui cek dan pindahan telegraf bagi pembelian pedati emas kepada dua syarikat berbeza tanpa mendapat kelulusan mesyuarat lembaga terbabit terlebih dahulu.
Ramasamy dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di daerah Timur Laut pada 9 Mac 2020 dan 24 Ogos 2021.
Dia juga menghadapi dua lagi pertuduhan serupa dengan membuat bayaran RM15,000 secara berasingan melalui cek kepada dua pelajar sebagai bayaran bantuan kewangan pendidikan tanpa mendapatkan kelulusan mesyuarat LWHPP di bank yang sama pada 5 Jan dan 9 Feb 2022.
Semua 17 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar menawarkan jaminan RM90,000 bagi semua pertuduhan terhadap Ramasamy selain menetapkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan hadir ke pejabat agensi antirasuah yang berhampiran sebulan sekali.
Peguam Shamsher Singh Thind yang mewakili Ramasamy kemudian memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya – yang memegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam jurusan sains politik di Universiti Malaya dan pernah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia – kini tidak bekerja serta bergantung kepada wang pencen.
Kata peguam terbabit, Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) yang mempunyai tiga anak dan tiga cucu itu adalah seorang figura sosial yang sering menyuarakan isu rakyat khususnya masyarakat India di negara ini.
Selain Shamsher, tertuduh turut diwakili peguam Eng Yuh Pei dan Archana Chandrasekaran turut. Selva Mookiah pula hadir sebagai peguam pemerhati bagi LWHPP.
Mahkamah membenarkan Ramasamy diikat jamin RM78,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 15 Julai untuk sebutan semula kes.
Ramasamy yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP dilantik sebagai Pengerusi LWHPP pada 2008 sehingga 2023 sebelum mengumumkan keluar DAP setelah berkhidmat selama 18 tahun dalam parti berkenaan (sejak 2005).
Ramasamy dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang ekoran memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Perai pada PRU ke-12 (PRU12) pada 2008.
Pada Ogos lalu, Pengerusi LWHPP, RSN Rayer, menyerahkan penemuan audit forensik dalaman kepada SPRM untuk siasatan lanjut, namun tidak memperincikan bentuk penemuan berkenaan yang didakwa mengandungi beberapa petunjuk penting. – BERNAMA