Iran tegaskan tiada persetujuan gencatan senjata dengan Israel setakat ini

MENTERI Luar Iran Abbas Araghchi hari ini menegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang persetujuan mengenai gencatan senjata antara Iran dan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Seperti yang telah ditegaskan berkali-kali oleh Iran: Israel yang memulakan peperangan terhadap Iran, bukan sebaliknya.
“Sehingga kini, tiada sebarang ‘persetujuan’ berkaitan gencatan senjata atau pemberhentian operasi ketenteraan,” kata Abbas menerusi hantaran di platform X.
Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini bahawa Israel dan Iran telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata secara “penuh dan menyeluruh” di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.
“Namun, sekiranya rejim Israel menghentikan pencerobohan haramnya terhadap rakyat Iran selewat-lewatnya empat pagi waktu Tehran, kami tiada hasrat untuk meneruskan serangan balas selepas itu.
“Keputusan muktamad berhubung pemberhentian operasi ketenteraan kami akan dibuat kemudian,” kata Araghchi.
Dia berkata operasi ketenteraan Iran untuk “menghukum Israel atas pencerobohan yang dilakukan” diteruskan sehingga saat terakhir iaitu empat pagi waktu tempatan (0030 GMT).
“Bersama seluruh rakyat Iran, saya merakamkan penghargaan kepada angkatan tentera kita yang berani, sentiasa bersiap sedia untuk mempertahankan tanah air tercinta hingga titisan darah terakhir, dan yang telah memberi tindak balas terhadap setiap serangan musuh sehingga ke detik terakhir,” katanya.
Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar pada Isnin, menandakan peningkatan ketara dalam ketegangan susulan serangan AS ke atas tiga tapak nuklear Iran pada Ahad. – BERNAMA