Pemuda UMNO Johor sokong usul Hishammuddin kembali kepada UMNO

PEMUDA UMNOJohor menyambut baik usul UMNO Bahagian Sembrong untuk menarik balik penggantungan keahlian bekas naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata langkah itu akan memperkukuhkan parti bukan sahaja di peringkat bahagian dan negeri, malah di peringkat nasional.
“Nama Hishammuddin bukan sahaja sudah sebati dan sinonim dengan masyarakat Sembrong, malah turut berkait rapat dengan legasi UMNO dan perjuangan parti yang telah lama bertapak,” katanya dalam kenyataan.
Hishammuddin yang juga ahli Parlimen Sembrong digantung keahlian selama enam tahun pada Januari 2023 kerana didakwa melanggar disiplin parti.
Semalam, Ketua UMNO Sembrong Abdul Ghani Abdul Rashid menggesa kepimpinan parti menarik balik penggantungan terhadap Hishammuddin serta-merta dan tanpa syarat.
“Kehendak ahli-ahli di Sembrong jelas, mereka mahu penggantungan itu dilepaskan tanpa syarat.
“Saya berharap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat menimbangkan usul ini dengan sewajarnya,” katanya memetik laporan media.
Abdul Ghani berkata ini kali kedua dalam tempoh dua tahun mereka meluluskan usul berkenaan perkara itu.
Menurut Ghani, pengalaman luas Hishammuddin dalam UMNO dan kerajaan penting untuk memperkukuhkan parti dan membantu pentadbiran negara.
Katanya lagi, penarikan balik penggantungan Hishammuddin juga penting untuk persediaan UMNO dalam menghadapi PRU16.
Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata Pemuda UMNO Johor percaya bahawa Presiden, Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi parti dapat memberi perhatian sewajarnya terhadap usul tersebut sebagaimana usul-usul lain daripada bahagian-bahagian di seluruh negara, demi kepentingan parti dan masa depannya. – MADANINEWS