SPRM mohon perintah beku aset isteri, keluarga Allahyarham Tun Daim di luar negara

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon perintah mahkamah untuk membekukan aset milik isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin — Toh Puan Na’imah Abdul Khalid — serta ahli keluarganya, bagi mengelakkan harta tersebut dilupuskan oleh pihak tertentu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, permohonan itu difailkan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan ke atas aset-aset luar negara yang dipercayai belum diisytiharkan, sekali gus menghalang sebarang cubaan untuk mengalih atau melupuskan harta berkenaan.
“Dalam kes ini, kita telah mengemukakan permohonan di mahkamah untuk perintah sekatan bagi membekukan aset yang berada di luar negara.
Kita juga akan meneruskan siasatan terhadap akaun-akaun yang dirampas kerana kita perlu memastikan ia tidak dilupuskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, aset berkenaan termasuk tujuh hartanah bernilai tinggi dan satu akaun bank milik Na’imah serta ahli keluarganya, yang merupakan sebahagian daripada anggaran harta bernilai RM2 bilion milik Allahyarham Daim. Sumber berkata, harta tersebut kini menjadi sasaran pelucutan hak SPRM oleh susulan dakwaan kegagalan untuk membuat pengisytiharan aset.
Semalam, Mahkamah Tinggi telah meluluskan permohonan SPRM untuk membekukan aset milik Na’imah di London yang dianggarkan bernilai lebih £132 juta (sekitar RM758.2 juta). Perintah ex-parte itu dikeluarkan oleh Hakim Datuk Azahar Abdul Hamid selepas mendapati terdapat asas kukuh bahawa aset tersebut berkemungkinan berkait dengan kesalahan di bawah Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Antara aset yang dibekukan termasuk dua bangunan komersial bernilai £55.2 juta, lima kediaman mewah bernilai £77.1 juta dan satu akaun bank milik Ilham Foundation.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, ketika dihubungi media.
Bulan lalu, SPRM mendedahkan sedang menyiasat beberapa aset luar negara milik keluarga Daim yang dikatakan tidak diisytiharkan. Azam memaklumkan bahawa lapan kertas siasatan baharu telah dibuka hasil maklumat terbaharu yang diterima daripada agensi luar negara berhubung pemilikan hartanah dan aset yang dikaitkan dengan Daim, ahli keluarganya dan proksi-proksi tertentu.
SPRM turut meneliti kemungkinan wujudnya kegagalan untuk mengisytiharkan harta dalam perisytiharan aset yang pernah dikemukakan sebelum ini.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews