Trump: Iran dan Israel capai persetujuan gencatan senjata

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin mengumumkan bahawa Israel dan Iran telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Israel dan Iran telah bersetuju sepenuhnya untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya dan menyeluruh (dalam tempoh kira-kira enam jam dari sekarang, setelah kedua-dua pihak menamatkan misi akhir mereka yang sedang berlangsung!) selama 12 jam, dan selepas itu, perang akan dianggap tamat!
“Secara rasmi, Iran akan memulakan gencatan senjata, dan selepas 12 jam, Israel pula akan memulakan gencatan senjata, dan sejurus memasuki jam ke-24, tamatnya perang 12 hari akan diraikan oleh seluruh dunia,” kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan tentera AS di Qatar.
Trump dalam hantaran itu turut menyatakan bahawa serangan itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan, sambil menegaskan bahawa “tiada warga Amerika yang terbunuh atau cedera dan yang paling penting, tiada juga rakyat Qatar yang terkorban atau tercedera.”
Ketegangan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang kemudian mencetuskan serangan balas oleh Tehran. – BERNAMA
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews