UPSI, Yayasan Ulul Albab meterai MoU jalin kerjasama strategik

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Yayasan Ulul Albab (YUA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan pendidikan serta pembangunan modal insan berasaskan nilai Islam.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama ini merupakan satu manifestasi cita-cita murni untuk melahirkan generasi Ulul Albab yang seimbang dari segi intelek, rohani dan sahsiah.
“UPSI dan konsep Ulul Albab sudah lama sinonim, dan penubuhan Pusat Ulul Albab UPSI membuktikan komitmen universiti dalam mengangkat martabat pendidikan Islam yang menyeluruh.
Menurut beliau, pelbagai program berimpak tinggi telah dilaksanakan bersama YUA sebelum ini, antaranya International e-Conference of Ulul Albab (e-ICUA), Ikon Ulul Albab Malaysia, dan Ulul Albab Innovation Competition Exhibition (UA ICE).
Turut dilaksanakan ialah pembangunan kurikulum dan modul Thalatha Tis’a, analisis keberkesanan program di peringkat awal kanak-kanak, serta kursus pedagogi bagi guru-guru yang terlibat.
“Usaha ini turut merangkumi pembangunan data pelajar Ulul Albab 2024–2025, pelancaran kurikulum dan modul khas, kursus pedagogi untuk guru-guru Thalatha Tis’a serta kajian impak pelaksanaan program tersebut di Taska KEMAS Gong Kepas.
Md Amin berkata, melalui pemeteraian MoU ini, kedua-dua pihak akan memperluas skop kerjasama termasuk pembangunan modul latihan sekolah model Ulul Albab, pembinaan Standard Ulul Albab Malaysia, dan penubuhan Program Diploma Sains Ulul Albab.
“Kolaborasi ini juga merangkumi penghasilan penerbitan ilmiah, promosi Konsep Andalusia 2.0, serta pelaksanaan seminar, persidangan dan bengkel bersama,” katanya.
Menurut beliau, UPSI komited untuk memainkan peranan sebagai pemacu kecemerlangan pendidikan negara melalui pembentukan ekosistem pendidikan Islam yang unggul dan berdaya saing.
“Harapan kami agar kerjasama ini membawa kita lebih dekat kepada kegemilangan tamadun Islam yang pernah dicapai suatu ketika dahulu,” ujar beliau.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Bilik Mesyuarat TRC Business Centre, Ampang, Selangor itu turut disaksikan oleh Pengerusi dan Pemegang Amanah YUA, Yang Mulia Engku Ahmad Kamel Yang Mulia Engku Taib; Setiausaha YUA, Abdul Aziz Mohamad; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh.
Sementara itu, Pengasas Yayasan Ulul Albab dan pencetus Program Thalatha Tis’a, Tan Sri Idris Jusoh berkata, MoU ini adalah langkah penting ke arah memperluas capaian pendidikan Islam yang progresif dan bersepadu.
“Kita mahu lahirkan generasi Ulul Albab yang bukan sekadar cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga kukuh dari segi akidah, akhlak dan sahsiah diri. Gabungan ilmu naqli dan aqli ini adalah kunci kepada tamadun yang gemilang.
Menurut beliau, pelaksanaan program ini membuktikan bahawa kanak-kanak kecil mampu menghafaz al-Quran, menguasai asas bahasa Arab, serta didedahkan kepada nilai-nilai Islam secara semula jadi dalam persekitaran yang kondusif dan menyeronokkan.
Tambah beliau, UPSI adalah rakan strategik terbaik untuk merealisasikan visi Ulul Albab secara nasional dan antarabangsa.
“Kami yakin, dengan kepakaran yang dimiliki UPSI dalam bidang pendidikan serta kesungguhan yang ditunjukkan, kita mampu membina satu sistem pendidikan Islam yang boleh dijadikan rujukan dunia,” katanya.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews