Dakwa syarikat Farhash terima lesen cari gali : G57 buat laporan polis ke atas portal berita

GERAKAN Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membuat laporan polis terhadap sebuah portal yang menerbitkan artikel berunsur fitnah ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan polis yang dibuat semalam di Balai Polis Sri Petaling itu adalah berkaitan artikel bertajuk “Syarikat Farhash terima lesen cari gali mineral Sabah di kawasan tiga kali ganda keluasan KL” yang diterbitkan pada 21 Julai 2025 oleh portal berita tersebut yang beroperasi di semenanjung.
‘’Berita itu adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan berniat jahat untuk mencemarkan nama baik serta kredibiliti kepimpinan negeri Sabah,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah,Datuk Bernard Liew Chau Min pada 24 Julai lalu, telah mengesahkan bahawa tiada firma yang dikaitkan dengan Farhash diberikan lesen cari gali mineral di Sabah.
‘’Penafian ini sekaligus membuktikan bahawa dakwaan yang diterbitkan oleh portal terbabit adalah palsu dan berunsur fitnah. G57 mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab ini dan menuntut agar portal berita tersebut menarik balik artikel berkenaan serta memohon maaf secara terbuka kepada Ketua Menteri dan rakyat Sabah,’’ tegasnya.
Selain tegas beliau, G57 turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segera agar penyebaran berita palsu seperti itu dapat dibendung dan tidak menjejaskan kestabilan politik negeri.