Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa SportExcel-KLGCC buka peluang peserta ke pentas dunia

PELUANG ke pentas golf bertaraf dunia menanti juara keseluruhan Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa SportExcel-KLGCC yang julung kali dianjurkan dan bakal membuka tirainya hari ini.
Kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 19 Julai di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) ini bakal menyaksikan seramai 108 pemain muda dari 10 negara berentap merebut kejuaraan dalam pelbagai kategori umur yang dipertandingkan.
Antara negara yang mengambil bahagian termasuk Australia, United Kingdom, Norway, Thailand, Korea Selatan, China, India, Indonesia, Singapura dan Malaysia – menjadikan kejohanan ini antara yang paling berprestij dalam kalendar golf remaja serantau.
Apa yang lebih istimewa, juara keseluruhan kejohanan ini akan menerima penyertaan terus ke beberapa kejohanan utama seperti Jelajah Pembangunan Asia 2025, Singapore Ladies Masters 2025, serta Next Gen World Finals 2025. Selain itu, dua slot ke Bridgestone ASEAN Tour Grand Finals 2025, yang dijadualkan pada 31 Oktober 2025 turut menjadi rebutan.
Menurut Pengarah Eksekutif merangkap Pengerusi Penganjur SportExcel, C. Sivanandan, kejohanan ini bukan sekadar pentas pertandingan, malah platform penting dalam membentuk generasi baharu juara golf negara.
“Matlamat utama kejohanan ini adalah untuk memperkenalkan visi SportExcel dalam membina generasi pemain golf bertaraf dunia, dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan rakan penaja.
Kejohanan ini menghimpunkan bakat junior dari seluruh dunia, menawarkan mata dalam Kedudukan Golf Amatur Dunia (WAGR), serta membuka ruang kepada pembangunan golf remaja dan jalinan persahabatan antarabangsa,” jelas beliau pada sidang media hari ini.
Kejohanan ini menyaksikan 76 peserta lelaki dan 32 peserta wanita bersaing dalam enam kategori umur iaitu:
- Lelaki A & Wanita A (19–23 tahun)
- Lelaki B & Wanita B (15–18 tahun)
- Lelaki C & Wanita C (13–14 tahun)
Sementara itu, Pengerusi Program Pembangunan Junior Kebangsaan MGA, Mohd Fauzi Mesran memuji usaha SportExcel yang tidak pernah berputus asa dalam mencungkil bakat muda negara.
“Kami di MGA komited bekerjasama rapat dengan SportExcel untuk memastikan bakat muda terus diasah dan diberi peluang ke peringkat lebih tinggi.
Bagaimanapun, untuk memastikan kelangsungan program pembangunan ini, kita amat memerlukan sokongan kewangan yang lebih kukuh. Ini penting bagi melahirkan lebih ramai pemain sehebat Gavin Green, Mirabel Ting dan Jeneath Wong yang kini mengharumkan nama negara di arena antarabangsa,” ujar beliau.
Dengan prestij kejohanan dan ganjaran lumayan yang ditawarkan, edisi sulung Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa SportExcel-KLGCC ini dijangka menjadi pemangkin baharu dalam pembangunan golf junior Malaysia dan rantau Asia. – MADANI NEWS