Kerajaan Madani kukuh sebab perpaduan luar biasa parti gabungan - PM Anwar | Madani News

Kerajaan Madani kukuh sebab perpaduan luar biasa parti gabungan – PM Anwar

Kerajaan Madani kukuh sebab perpaduan luar biasa parti gabungan – PM Anwar
YAB Perdana Menteri, juga Presiden Parti Keadilan Dato' Seri Anwar Ibrahim, bertemu pimpinan KEADILAN Selangor di Shah Alam. 18 Julai 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout videos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the visual or facts mentioned in the caption. Reuse of the videos may require further permission. MANDATORY CRE

KERAJAAN Madani kukuh hasil pegangan kepada prinsip dan semangat perpaduan antara parti gabungan serta komitmen bersama untuk membangunkan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun setiap parti gabungan dalam Kerajaan Madani mempunyai fahaman dan pendirian berbeza, nilai kebersamaan dan semangat perpaduan dalam kalangan mereka amat mengagumkan.

“Alhamdulillah, walaupun kita ini gabungan parti dengan berlainan pendirian dan fahaman, tetapi semangat untuk membangunkan negara menjadikan kerjasama dan semangat itu luar biasa.

“Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi Barisan Nasional), (Datuk Seri) Fadillah Yusof (Gabungan Parti Sarawak) dan rakan-rakan lain atas semangat ini,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Kenduri Rakyat bersempena dengan program Ukhuwah Madani dan Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan Madani di Kampung Pachitan, di Port Dickson hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama, lebih 100 anggota Kabinet dan Ahli Parlimen Kerajaan Madani termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan Madani yang dibentuk ialah kerajaan prihatin yang terus mendengar dan memahami suara rakyat.

Beliau berkata meskipun prestasi ekonomi makro negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan peningkatan pelaburan dan penurunan kadar pengangguran, kerajaan tidak boleh ambil ringan terhadap cabaran yang masih dirasai oleh rakyat pada peringkat akar umbi.

“Dari segi ekonomi makro kita nampak prestasi membaik, pelaburan naik, kadar pengangguran turun. Tetapi saya tahu, pada peringkat bawah masih ada kesukaran.

“Sebab itu, Kerajaan Madani yang kita bina ini, kerajaan yang prihatin …. Kita kena dengar suara rakyat, jangan tinggal kebiasaan, jangan abaikan suara akar umbi,” kata Anwar.

Sebanyak 143 orang terdiri daripada barisan jemaah menteri dan Ahli Parlimen menyertai Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan Madani bersempena dengan pemukiman anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen di sini.

Program melibatkan penyertaan anggota pentadbiran Kerajaan Madani itu sebagai usaha membina jaringan ukhuwah antara pemimpin dengan rakyat dalam suasana santai, inklusif dan penuh nilai kebersamaan.

  • BERNAMA