Mahkamah Rayuan benarkan Anwar tangguh kes saman Yusoff Rawther | Madani News

Mahkamah Rayuan benarkan Anwar tangguh kes saman Yusoff Rawther

Mahkamah Rayuan benarkan Anwar tangguh kes saman Yusoff Rawther

MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan prosiding kes saman yang dikemukakan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther.

Kes saman berhubung satu insiden didakwa berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri itu ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sepatutnya bermula 16 Jun lalu tetapi diberikan penangguhan interim sebelum ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan semua prosiding, termasuk perbicaraan saman di Mahkamah Tinggi, ditangguhkan hingga rayuan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang – antaranya, sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman – diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang membacakan keputusan sebulat suara panel, berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati wujud keadaan istimewa bagi membolehkan penangguhan berkenaan diberikan, memetik laporan BH Online.

Beliau menjelaskan bahawa jika rayuan terbabit tidak dibenarkan, ia akan menyebabkan rayuan Anwar untuk merujuk persoalan undang-undang itu sudah tidak bermakna.

“Kami juga mendapati tidak berlaku sebarang prejudis terhadap semua pihak,” katanya.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Lim Hock Leng.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 September depan bagi pengurusan kes.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews