MTD juara Kejohanan Bola Sepak MSSD Zon Bangsar 2025

KUALA LUMPUR – Penantian hampir tiga dekad berakhir apabila pasukan bawah 18 tahun Maktab Tentera Diraja (MTD) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan-sukan Sekolah Daerah (MSSD) Zon Bangsar 2025 selepas menewaskan seteru tradisi, Victoria Institution (VI) 1-0 dalam aksi final yang penuh dramatik, 11 Julai lalu.
Gol tunggal kemenangan dijaringkan oleh pemain gantian, Muhammad Syabil Badrulhisam lima minit sebelum perlawanan tamat hasil rembatan kencang dari jarak dekat yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penyokong MTD di tepi padang VI di sini.
Barisan pertahanan MTD yang diketuai Mohd. Fakhrul tampil cemerlang sepanjang perlawanan dengan aksi berdisiplin dalam mengekang asakan demi asakan lawan.
Turut mencuri tumpuan ialah penjaga gol, Haziq Mazlan yang tampil meyakinkan dengan aksi-aksi menyelamat cemerlang sekali gus melayakkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Kejayaan itu sekali gus mengangkat martabat MTD bukan sahaja dalam bidang akademik dan ketenteraan, malah dalam arena sukan, selaras dengan usaha membentuk jati diri putera yang seimbang dari segi sahsiah dan fizikal.
Jurulatih pasukan, yang juga bekas putera, Aznor Dzulkarnain diberi penghargaan atas kejayaan tersebut, selain guru sukan merangkap guru pengiring, Zulkhairiey Ahmad dan Ashraf M. Ridzuan yang menjadi tulang belakang pasukan dari awal kejohanan. – MADANI NEWS