Muhammad Dhuha, PSM raih Anugerah SAM-100PLUS 2024 | Madani News

Muhammad Dhuha, PSM raih Anugerah SAM-100PLUS 2024

Muhammad Dhuha, PSM raih Anugerah SAM-100PLUS 2024
Muhammad Dhuha Zulfikry

PERENANG muda negara Muhammad Dhuha Zulfikry dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) diangkat sebagai penerima anugerah pada majlis Anugerah Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 susulan pencapaian cemerlang masing-masing sepanjang tahun lepas.

Muhammad Dhuha menerima Anugerah Atlet Muda Terbaik, manakala PSM diiktiraf sebagai Persatuan Sukan Dinamik iaitu dua anugerah berprestij yang meraikan bukan sahaja kejayaan di pentas sukan tetapi juga dedikasi serta kebangkitan luar biasa yang ditampilkan.

Bagi Muhammad Dhuha, 18, tahun 2024 merupakan tahun luar biasa dalam kariernya dengan melakar kejutan apabila memadamkan rekod kebangsaan 1500 meter gaya bebas lelaki milik Jeffrey Ong yang telah bertahan 35 tahun, ketika beraksi di Piala Dunia Renang Akuatik 2024 di Shanghai, China.

Tidak terhenti di situ, Muhammad Dhuha meneruskan prestasi gemilang di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dengan menyapu enam pingat emas serta mencipta lima rekod kejohanan baharu — menjadikannya antara atlet paling menyerlah di temasya tersebut.

Persembahannya yang konsisten, tenang dan berprestasi tinggi menjadi asas kepada pemilihannya sebagai penerima gelaran Atlet Muda Terbaik pada Anugerah SAM-100PLUS 2025.

Sementara itu, PSM pula membuktikan bahawa reformasi dan kesatuan dalam pengurusan boleh membawa perubahan besar apabila badan induk itu bangkit daripada kemelut dalaman hingga menjadi peneraju baharu kejayaan sukan tanah air.

Di bawah pimpinan Datuk Sumali Reduan sejak 2022, PSM melaksanakan pelbagai pembaharuan pentadbiran dan program pembangunan yang kini mula menunjukkan hasil ketara.

PSM berjaya meraih penarafan empat bintang melalui Penilaian Penarafan Bintang Pejabat Pesuruhjaya Sukan, suatu pengiktirafan terhadap tahap profesionalisme dan kecekapan pengurusan yang semakin mantap.

Di peringkat antarabangsa, pasukan sepak takraw negara turut mencipta sejarah dengan menjuarai kedua-dua acara regu dan beregu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, sekali gus membawa semula martabat Malaysia sebagai kuasa besar sukan tradisi ini.

Atas kejayaan menyeluruh dalam aspek pengurusan, pembangunan dan prestasi, PSM dinobatkan penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2024 Hazreen Mubarak, pemilihan kedua-dua penerima dibuat berdasarkan pencapaian konsisten dan impak besar yang dipamerkan.

“Muhammad Dhuha menunjukkan kematangan luar biasa bagi seorang atlet muda, dengan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan berusia puluhan tahun dan mengekalkan dominasi di SUKMA.

“PSM pula menonjol bukan sahaja kerana kejayaan di peringkat antarabangsa, tetapi juga keberanian mereka melakukan pembaharuan dalaman secara menyeluruh,” jelas beliau.

Hazreen berkata kedua-dua penerima dipilih selepas melalui penilaian teliti berdasarkan prestasi, sumbangan kepada sukan dan potensi masa depan.

“Anugerah SAM-100PLUS bukan sekadar meraikan kejayaan semasa, sebaliknya turut mengiktiraf semangat membina, usaha membangunkan bakat serta kecekapan menerajui organisasi sukan,” katanya.

Anugerah SAM-100PLUS 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 Julai di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. – MADANI NEWS