Adam Radlan bebas tuduhan rasuah, Hilman mengaku tak bersalah buat kenyataan timbulkan kegentaran awam

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah dimaklumkan oleh pendakwaraya bahawa ia menerima surat representasi daripada Adam Radlan, yang menawarkan untuk membayar kompaun RM4.1 juta
DUA pemimpin muda Bersatu menghadapi situasi berbeza di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Muhammad dibebaskan daripada semua 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram manakala Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham mengaku tidak bersalah atas kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam.
DI MAHKAMAH SESYEN KUALA LUMPUR, Hakim Suzana Hussin membebaskan Adam Radlan daripada semua 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta.
Beliau memutuskan demikian selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwaraya Awam Farah Yasmin Salleh dan Fadhly Zamry, dan peguam Adam Radlan, Rajan Navaratnam.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah dimaklumkan oleh pendakwaraya bahawa ia menerima surat representasi daripada Adam Radlan, yang menawarkan untuk membayar kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan. Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Akta
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah melepaskan Adam Radlan tanpa membebaskan beliau. Rajan pula memohon anak guamnya dibebaskan memandangkan tiada lagi pertuduhan akan dibuat selepas Adam membayar kompaun.
Mengikut pertuduhan, Adam Radlan, 43, didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5% hingga 7% daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat, yang merupakan pengarah urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, lapor FMT.
Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis, daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Adam juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa; dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.
Semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Adam turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta 613.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Jan 2023.

DI MAHKAMAH MAJISTRET, Sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dibacakan, Hilman mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Amira Abd Aziz dan minta dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, Hilman didakwa membuat kenyataan di suatu akaun Tiktok yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan itu dilihat dan didengar oleh anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini pada 2.09 petang 30 Julai lalu.
Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Badiuszaman Ahmad, memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, Rafique Rashid Ali yang mewakili Hilman memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang proses siasatan.
Hilman turut diwakili Takiyuddin Hassan, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.
Mahkamah menetapkan wang jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Oktober depan untuk serahan dokumen.