Adendum perlu dilaksanakan apabila Peguam Negara sahkan kewujudannya – Shafee

“(Titah adendum) itu wajar dilaksanakan tetapi mungkin AG mahu ‘menguji keadaan’, untuk berhujah, mungkin, mengenai kesahihan perintah tambahan tersebut.’’ – Peguam Kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
PEGUAM Kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan, titah adendum yang didakwa membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah perlu dilaksanakan memandangkan pengakuan Peguam Negara (AG) yang mengesahkan kewujudan adendum tersebut.
Katanya, dalam permohonan semakan kehakiman berhubung tahanan rumah, berkata titah Yang di-Pertuan Agong tidak wajar dipersoalkan, sama ada dokumen itu sempurna atau tidak.
“Kita ada sekitar sembilan kes di Mahkamah Persekutuan yang menyatakan bahawa selagi ada titah Yang di-Pertuan Agong, ia tidak boleh dipersoalkan, sama ada dokumen itu sempurna atau keputusan ke atasnya sempurna atau tidak, itu tidak relevan.
“(Titah adendum) itu wajar dilaksanakan tetapi mungkin AG mahu ‘menguji keadaan’, untuk berhujah, mungkin, mengenai kesahihan perintah tambahan tersebut.
“Ia akan menjadi proses yang sangat rumit kerana mereka perlu mendedahkan siapa berkata apa, termasuk nasihat Lembaga Pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya… sebab itu kami fikir titah itu tidak patut dicabar, atas alasan yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas prosiding Mahkamah Persekutuan hari ini, lapor Malaysiakini.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan peguam negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari yang mengembalikan permohonan tahanan rumah Najib ke Mahkamah Tinggi, serta membenarkan bekas Perdana Menteri itu mengemukakan afidavit anaknya, Mohd Nizar, dan surat Sultan Pahang berhubung perintah tambahan diraja itu sebagai bukti baharu.
Panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Hashim, berkata, kesahihan titah tambahan itu perlu diputuskan dalam perbicaraan substantif, sambil menegaskan pengakuan peguam negara mengenai kewujudannya memberi kesan besar kepada permohonan tahanan rumah Najib.
Hakim juga mengarahkan Mahkamah Tinggi mengadakan pengurusan kes pertama pada Isnin depan (18 Ogos) dan menetapkan tarikh pendengaran sebulan selepas itu.
Sementara itu, Shafee berkata selain pertukaran afidavit di Mahkamah Tinggi, terdapat juga peruntukan di bawah Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi yang membolehkan Najib memohon penemuan dokumen, soalan bertulis (interrogatories), serta memanggil saksi untuk memberi keterangan secara fizikal atau melalui afidavit.
“Melalui penemuan (discoveries), kita boleh minta segera ditunjukkan di mana titah tambahan itu berada dan apa yang telah berlaku kepadanya, memandangkan ia telah tertangguh selama setahun setengah.
“Kita juga boleh memohon soalan bertulis di mana kita boleh menyoal pihak sebelah sana untuk memberitahu apa sebenarnya yang berlaku. Ini adalah perkara yang sangat kritikal, kita perlu benar-benar ketat dalam mengemukakan fakta semasa perbicaraan,’’ katanya.
Permohonan Najib, difailkan pada April tahun lalu, bertujuan mendapatkan perintah mandamus mahkamah untuk memaksa kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan titah adendum yang membolehkan dia menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah, masih di peringkat kebenaran.
Beliau turut menamakan AG, Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Ketua pPngarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang sebagai responden dalam permohonannya.
Mahkamah Tinggi pada pada 3 Julai tahun lalu menolak permohonan kebenaran Najib .
Mahkamah Rayuan kemudiannya membatalkan keputusan itu pada 6 Januari, yang membawa kepada rayuan oleh peguam negara.
Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitannya berkaitan dana RM42 juta milik SRC International. Bekas ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM120 juta, sebelum Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman tersebut kepada penjara enam tahun dan hukuman denda kepada RM50 juta pada 2 Februari tahun lalu.