Agong titah kerajaan batalkan cadangan pembelian helikopter berusia lebih 30 tahun

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara ‘second hand’. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’?
YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun.
Sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda mengingatkan Kementerian Pertahanan tidak mengulangi kesilapan dahulu.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara ‘second hand’. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.
“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘ejen’ atau bekas jeneral yang menjadi ‘salesman’, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual ‘drone’,” titah baginda sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing.
Sultan Ibrahim bertitah peruntukan sedia ada tidak akan mencukupi jika semua perolehan perlu mengikut harga orang tengah, lapor BH Online.
“Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi.”
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, Johor, hari ini.
Baginda juga menitahkan kerajaan supaya memberi keutamaan kepada peningkatan tahap kesiapsiagaan Rejimen Gerak Khas dengan memastikan setiap perolehan aset tentera dibuat secara teliti, iaitu berlandaskan harga pasaran dan keperluan sebenar pengguna, bukannya mengikut cadangan ejen semata-mata.
Seri Padukan bertitah, pembelian aset yang tidak relevan atau terlalu mahal bukan saja merugikan, malah membazirkan peruntukan negara.
“Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu,” titahnya.
Sultan Ibrahim mengimbas kembali teguran baginda lima tahun lalu berhubung pembelian bot Rigid Riding Craft (RRC) untuk komando pada harga RM5 juta, sedangkan bot yang lebih baik boleh diperoleh bawah RM2 juta.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, cadangan membeli bot yang sama tapi dengan saiz lebih besar bernilai RM10 juta sebagai tidak masuk akal dan harus diteliti secara betul.
“Selain daripada harga, kualiti barang yang dibeli juga perlu diutamakan. Apa sudah jadi dengan kolam selam tempur di kem ini yang sepatutnya siap pada 2022, tetapi sehingga kini masih belum boleh digunakan,” titah baginda.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews