Anak Rafizi diserang: PM kutuk budaya melampau, jamin siasatan telus dan pantas

“Apa dibangkitkan (mengenai insiden serangan ke atas anak Rafizi)… dukacita kerana sudah ada budaya agak melampau daripada buli hingga kematian dan kini anak Ahli Parlimen Pandan (Rafizi).
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa siasatan terhadap insiden serangan fizikal ke atas anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, akan dijalankan secara telus, rapi dan pantas.
Dalam nada serius di Dewan Rakyat, Anwar melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian itu yang disifatkan sebagai tanda berbahaya wujudnya budaya ganas dalam masyarakat.
“Budaya melampau — daripada kes buli hingga membawa kematian, kini serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan. Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk memastikan siasatan dijalankan segera, telus dan rapi.
” Bukan sekadar ambil tindakan, tetapi hentikan terus budaya jahat ini,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian sebelum menjawab soalan asal dikemukakan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai rasional pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset PETRONAS dan strategi menghadapi ketidaktentuan pasaran global.
Kejadian serangan anak bekas Naib Presiden PKR itu berlaku di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya semalam disahkan polis.
Siasatan awal mendapati insiden berlaku kira-kira jam 2 petang di kawasan menurun penumpang. Polis sedang meneliti rakaman CCTV dan mengesan dua suspek lelaki berpakaian hitam, bertopi keledar, yang menaiki motosikal dan dipercayai mengekori kereta isteri pemimpin itu.
Rafizi, yang mendedahkan insiden itu menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan yang amat membimbangkan keselamatan keluarganya, bertujuan menakut-nakutkannya. – MADANI NEWS