Apakah pemimpin DAP akan tuduh Pemuda UMNO-Pemuda Bersatu berpakat?

SEMALAM Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Syahredzan Johan mempersoalkan pemilihan masa P.Waytha Moorthy dalam memfailkan saman pemula terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen.
Dalam kenyataan di Facebook semalam, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata tindakan undang-undang itu dibuat selepas Waytha bertemu dengan pemimpin Bersatu.
Adakah selepas ini pemimpin DAP akan menuduh Pemuda UMNO berpakat dengan Pemuda Bersatu, apabila hari ini Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham menyatakan akan menyertai himpunan solidariti Jalur Gemilang yang dianjurkan Pemuda UMNO di Kepala Batas, Pulau Pinang esok.
Katanya, Hilman Idham, berkata sayap itu sedia bersama mana-mana pihak demi mempertahankan kedaulatan dan martabat negara, merentasi politik kepartian.
Tegasnya, seruan mempertahankan Jalur Gemilang adalah ‘semboyan penyatuan kebangsaan’ dan kebersamaan rakyat harus digembleng demi mempertahankan panji tanah air.
“Atas semangat solidariti rakyat merentasi politik kepartian, Pemuda Bersatu akan turun bersama Pemuda UMNO di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos (esok). Kami menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan memastikan himpunan ini berlangsung secara aman dan penuh semangat patriotisme yang tulen,” katanya dalam kenyataan.
Hilman turut menyelar pihak yang membela tindakan salah mengibar bendera Malaysia secara terbalik, malah menggelar pihak yang mengkritik tindakan itu sebagai pembuli.
“Puak ini cuba mengalihkan isu daripada perkara pokok. Mereka menyerang peribadi, berselindung disebalik perkataan ‘keamanan dan keharmonian’ serta ‘Rukun Negara’. Jangan peralat dan mencemarkan ‘patriotisme’ untuk membela sikap dan tindakan yang salah,” katanya.
Semalam, dalam kenyataan bersama, Ketua Pemuda UMNO Pokok Sena Mohd Farhan Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO Kulim Mohd Khairul Azam Alis menyeru anak muda di seluruh negara hadir ke perhimpunan solidariti itu sebagai tanda mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
Menurut mereka, himpunan berkenaan bukan sekadar pertemuan biasa, sebaliknya simbol kebangkitan suara anak muda yang menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan meremehkan Jalur Gemilang.
Perhimpunan itu membawa slogan ‘Bangkit! Bersatu! Demi Jalur Gemilang!’.
Perkembangan itu menyusul selepas Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh lantang mengecam pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dan mahu ke kedai berkenaan untuk mengajar pemiliknya cara memasang bendera dengan betul.
Semalam DAP mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang gergasi di kedai itu.
Penolong Setiausaha DAP Pulau Pinang H’ng Mooi Lye berkata pemasangan Jalur Gemilang berukuran 3.04 meter X 6.09 meter itu dilakukan bagi memberi panduan kepada orang ramai mengenai cara pemasangan bendera.
Ketegasan DAP mempertahankan pemilik kedai itu bagaikan mendapat sokongan MCA apabila Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong turut membidas tindakan Dr.Akmal untuk berhimpun di kedai tersebut esok.
Tetapi setakat ini tidak ada pula mana-mana pemimpin parti dalam kerajaan atau pembangkang mengatakan DAP-MCA berpakat seperti mana Syahredzan mengaitkan pertemuan Waytha Moorthy dengan Bersatu, sedangkan apa yang dilakukan oleh Waytha Moorthy tidak ada kaitan dengan Bersatu.
Harap tidak ada pihak kepanasan apabila melihat Pemuda UMNO-Pemuda Bersatu bersolidariti bersama di Kepala Batas. Tenang-tenang sahaja himpunan itu bukan himpunan politik tetapi demi mempertahan Jalur Gemilang sama seperti mana DAP senada dengan MCA dalam isu tersebut.