Asyraf Wajdi layak ganti Fadhlina jadi Menteri Pendidikan – Afnan Hamimi | Madani News

Asyraf Wajdi layak ganti Fadhlina jadi Menteri Pendidikan – Afnan Hamimi

Asyraf Wajdi layak ganti Fadhlina jadi Menteri Pendidikan – Afnan Hamimi

MUNGKIN kerana terlalu kecewa dengan kegagalan Fadhlina Sidek menangani isu buli di sekolah, Ahli Parlimen Alor Setar, Aftnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki sepatutnya mengambil alih jawatan Menteri Pendidikan daripada Ahli Parlimen Nibong Tebal tersebut.

Beliau berkata, Asyraf Wajdi adalah calon paling sesuai memandangkan Pengerusi Mara tersebut .

“(Asyraf Wajdi) kata enam pelajar (yang terlibat dalam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara – MRSM) telah dibuang sekolah serta-merta. Saya rasa dia patut jadi menteri pendidikan. Satu-satunya masalah ialah dia belum menang (kerusi Parlimen).

“Saya berdoa supaya dia menang dalam pilihan raya akan datang supaya dapat menggantikan menteri pendidikan sedia ada,” kata Afnan Hamimi pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ketegasan Asyraf Wajdi menangani kes buli di MRSM tanpa kompromi melalui #you touch, you go, menarik perhatian banyak pihak apabila beliau bertindak membuang pelajar terlibat daripada MRSM.

 Asyraf Wajdi turut mencabar secara terbuka ibu bapa pelajar MRSM yang bercadang menyamannya selepas anak mereka dibuang sekolah kerana kes buli.

Merujuk kepada kebimbangan berterusan orang awam terhadap kematian pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Sabah, Zara Qairina Mahathir, Afnan Hamimi menegaskan, Fadhlina dilihat tidak berminat untuk meredakan kebimbangan ibu bapa.

“Orang ramai semakin bimbang untuk menghantar anak ke sekolah, dan semakin hilang kepercayaan terhadap institusi pendidikan kita.

“Pada masa yang sama, menteri pendidikan memberi jaminan bahawa sekolah kita masih selamat, tetapi masyarakat tidak mahu sekadar mendengar jaminan lisan sahaja kerana keadaan sudah serius, dengan banyak kes buli telah berlaku di sekolah,” katanya.

Afnan Hamimi yang juga wakil Perikatan Nasional dan Pas turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pengurusan proses penggalian semula kubur serta bedah siasat yang dijalankan dengan teliti.

Bagaimanapun, kata beliau, terdapat beberapa isu penting berkaitan kes itu yang masih belum terjawab, antaranya beliau mempersoalkan ketiadaan bedah siasat segera selepas kematian arwah sehingga memaksa jasad digali semula.

Katanya, perkara itu menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat seolah-olah ada sesuatu yang hendak disembunyikan.

“Walaupun kita tidak selesa jasad itu digali semula namun untuk memenuhi prosedur undang-undang kita perlu akur kepada keadaan tersebut. Apabila tidak dibuat post-mortem ini maka dia menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat apa sebenarnya yang hendak disembunyikan?

“Menteri Pendidikan ada memberi penjelasan jangan buat tohmahan jangan timbulkan spekulasi. Isunya ialah siasatan yang dibuat tidak mengikut prosedur tak dibuat bedah siasat itulah menyebabkan tercetusnya spekulasi.

“Yang mencetuskan spekulasi inilah pihak berkuasa sendiri. Kalau pihak berkuasa ikut semua tindakan undang-undang ataupun prosedur yang  sepertimana biasa yang telah pun dibuat oleh kes-kes seumpama ini sebelum ini, saya rasa rakyat tidak akan bangkit,’’ katanya.