Bedah siasat lancar, tiada gangguan, keputusan paling lambat dalam dua bulan – peguam

‘’ Saya boleh beritahu perjalanan post-mortem sangat baik. Tidak ada unsur-unsur seperti yang di media sosial, seperti dakwaan ada ‘tangan-tangan’ tertentu, semua itu tiada.’’
Demikian ditegaskan Shahlan Jufri, peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang menyaksikan proses bedah siasat jenazah pelajar itu di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu semalam.
Sambil menegaskan, bedah siasat tersebut berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, Shahlan berkata, beliau sendiri melihat proses itu dari mula hingga akhir yang bermula pada pukul 11 pagi hingga 7.30 malam tadi.
“Saya sendiri lihat dan saksikan bagaimana arwah Zara diperiksa sehingga selesai, termasuk dengan semua prosedur yang diperlukan,” katanya kepada wartawan di pekarangan HQE, malam tadi.
Katanya, beliau melihat sendiri bagaimana doktor memeriksa jenazah arwah Zara Qairina secara menyeluruh.
“Beberapa orang anggota polis juga masuk, tetapi yang masuk ke dalam bilik bedah hanya saya dengan pasukan forensik. Sebab memang itu keinginan keluarga arwah Zara Qairina,’’ katanya.
Sebelum ini media melaporkan, empat pakar terlibat dalam menjalankan bedah siasat tersebut iaitu Pakar Patologi HQE, Dr.Jessie Hiu, Pakar Patologi Forensik Hospital Sultan Idris Shah,Serdang Dr Khairul Anuar Zainun dan dua lagi pakar.
Shahlan memaklumkan, laporan bedah siasat itu akan disediakan pasukan forensik dan ia akan disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh pihak terlibat.
Katanya, tempoh bila laporan itu boleh disiapkan tidak dapat ditentukan dengan tepat.
“Kalau tanya proses itu berapa lama, saya tidak tahu dengan tepat. Biasanya, paling cepat atau paling minimum mungkin dalam tempoh tertentu, tetapi paling lambat mungkin dua bulan. Sebab ia membabitkan beberapa orang pakar dan semua pakar ini akan berbincang sebelum memuktamadkan post-mortem report itu,” katanya.
Sementara itu jenazah Allahyarham Zara Qairina selamat dikebumikan semula di lokasi yang sama iaitu di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang kira-kira pukul 1.15 pagi tadi. Proses itu mengambil masa selama setengah jam sambil disaksikan oleh ahli keluarga dan orang ramai.