Cabul pelajar : Bekas atlet wushu kebangsaan dipenjara 13 tahun  | Madani News

Cabul pelajar : Bekas atlet wushu kebangsaan dipenjara 13 tahun 

Cabul pelajar : Bekas atlet wushu kebangsaan dipenjara 13 tahun 

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara dan empat kali sebatan ke atas bekas atlet wushu kebangsaan, Gjeblehim Bong selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang pelajarnya tiga tahun lalu.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap selepas memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah juga mengarahkan Bong menjalani sesi kaunseling ketika menjalani hukuman penjara, serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas dibebaskan.

Bong didapati menyentuh payudara pelajarnya yang ketika itu berusia 10 tahun di Akademi Dong Wu, Jalan Klang Lama, pada 13 April 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

Bong kini sedang menjalani hukuman penjara bagi satu lagi kes serangan seksual yang melibatkan seorang kanak-kanak lain.

Peguam Tharamjit Singh mewakili Bong, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff mewakili pihak pendakwaan.

Bong, yang berasal dari Sarawak, merupakan bekas atlet wushu kebangsaan yang pernah mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.