Calon Presiden Colombia meninggal dunia selepas dua bulan ditembak

SELEPAS dua bulan ditembak dalam satu himpunan politik, Calon Presiden Colombia, Miguel Uribe Turbay, meninggal dunia, semalam.
Ketika mengumumkan perkara itu, Hospital Santa Fe di Bogota berkata, Miguel mengalami pendarahan otak sejak beberapa hari lalu selepas menjalani beberapa pembedahan susulan berikutan serangan berkenaan.
Ahli politik konservatif itu ketika kejadian sedang berkempen bagi pencalonan parti Pusat Demokratik untuk bertanding pada pilihan raya presiden tahun depan. Menerusi hantaran di laman X, parti itu menyatakan “Colombia sedang berkabung.”

Isterinya, Maria Claudia Tarazona, menulis di Instagram: “Bersemadilah dengan tenang, cinta hatiku. Saya akan menjaga anak-anak kita.”
Beberapa suspek telah ditahan selepas serangan itu, termasuk seorang remaja berusia 15 tahun yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah Uribe. Motif serangan masih belum jelas.
Menurut pejabat pendakwa raya, dalang serangan itu mengetuai kumpulan pembunuh upahan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan serpihan gerila haluan kiri FARC.
Colombia telah lama berdepan keganasan politik selama beberapa dekad. Pada 1980-an dan 1990-an, beberapa calon Presiden dibunuh di negara Amerika Selatan itu.
Pemberontak haluan kiri, kumpulan separa tentera sayap kanan dan tentera pernah terlibat dalam perang saudara berdarah selama 52 tahun, yang meragut kira-kira 220,000 nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal.
Keadaan keselamatan bertambah baik selepas perjanjian damai dimeterai pada 2016 antara kerajaan dan kumpulan pemberontak terbesar ketika itu, FARC.
Namun, sebahagian kawasan di negara itu masih dikuasai kumpulan haram.