Dakwa pembangkang omong kosong tetapi beranikah Syahredzan cadangkan undi sulit?

AHLI Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengingatkan pembangkang supaya jangan omong kosong sahaja berhubung tindakan untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Dalam kenyataannya, Syahredzan berkata, pelbagai alasan diberikan sebenarnya menunjukkan pembangkang tidak berani dan tidak cukup sokongan di Dewan Rakyat.
Kata beliau, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata usul undi tidak percaya akan bergantung kepada satu lagi usul lain manakala Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari pula cabar kerajaan membenarkan undi secara sulit.
“Kalau usul pun tidak masuk daripada pihak pembangkang, bagaimana untuk tentukan undian sulit atau tidak? Masukkan usul, jangan omong kosong sahaja. Rakyat sudah bosan. Sudah berminggu sejak himpunan pembangkang, hanya cakap mahu masuk usul.
“Sebenarnya mereka tidak berani dan tidak cukup bilang. Hanya bersuara untuk puaskan hati penyokong yang semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pembangkang,’’ katanya dalam Facebook beliau.
Sebelum ini, soal sama ada pembangkang akan membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu atau sebaliknya, hanya bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini, mengemukakan usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataan mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad dan isu Pulau Batu Puteh.
Persoalannya kenapakah ketika Dewan Rakyat masih lagi membahaskan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Syahredzan begitu beria-ia mahu pembangkang mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Kalaupun pembangkang berhasrat atau berani berbuat demikian, sekarang bukan masanya. Selesaikan dulu perbahasan mengenai RMK-13. Soal itu lebih penting daripada melayan cabaran yang dibuat Syahredzan.
Adalah lebih baik Syahredzan bersabar. Jika selepas selesai agenda RMK-13, pembangkang tidak juga mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, maka barulah beliau boleh berdegar-degar mengatakan pembangkang tidak berani.
Seperkara lagi, apa salahnya Ahmad Fadhli mencadangkan awal-awal supaya pengundian dijalankan secara sulit walaupun usul belum dikemukakan di Dewan Rakyat. Adakah DAP tidak mahu undi secara sulit dijalankan?
Selama ini, pemimpin DAP yakin Anwar mempunyai sokongan solid daripada semua ahli Parlimen parti yang bergabung dalam kerajaan, justeru sementara usul yang dikemukakan bagi membuktikan Anwar masih mendapat kepercayaan ahli-ahli Parlimen, dari sudut lain rakyat mahu tahu jugak sama ada sokongan diberikan kepada Perdana Menteri bukan kerana terpaksa disebabkan undi dijalankan secara terbuka.
Di Parlimen, selain undi secara sulit, terdapat satu lagi cara mengundi usul iaitu melalui pungutan suara “Ya” dan “Tidak”. Berdasarkan kekuatan suara, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan memutuskan sama ada usul tersebut diterima atau ditolak.
Jadi sementara Syahredzan beria-ia mencabar pembangkang cepat-cepat membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, beliau juga harus berani untuk menyakinkan ahli-ahli Parlimen DAP untuk membenarkan usul tersebut dijalankan secara undi sulit.
Syahredzan yang berlatar belakang undang-undang pasti tahu soal keadilan, oleh itu untuk bertindak adil kepada ahli Parlimen menyatakan pendirian mereka secara ikhlas dalam usul berkenaan. Ia memandang ada dakwaan ada kalangan mereka tidak menyokong Anwar walaupun berada dalam kerajaan, justeru Syahredzan perlu berkempen supaya undian secara sulit dilakukan.
Kita percaya Anwar tidak ada masalah jika proses undian seumpama itu dijalankan kerana ia sekaligus boleh menutup cakap-cakap atau spekulasi yang mengatakan kalau dibuat undi sulit Perdana Menteri akan kalah. Sebagai peguam, Syahredzan boleh memainkan peranan utama untuk membuktikan cakap-cakap itu tidak betul…apapun selesaikan dulu agenda RMK13 di Parlimen.