Dera Bella: Mahkamah kekalkan hukuman 12 tahun penjara Siti Bainun | Madani News

Dera Bella: Mahkamah kekalkan hukuman 12 tahun penjara Siti Bainun

Dera Bella: Mahkamah kekalkan hukuman 12 tahun penjara Siti Bainun
Gambar fail

“Setelah meneliti keseluruhan keterangan yang diberikan pihak pendakwaan dan pembelaan, kami mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya atas kedua-dua pertuduhan, melampaui keraguan munasabah” – Hakim

SETELAH hampir empat tahun kes ini membelit emosi rakyat Malaysia, Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan keputusan yang membawa kelegaan kepada para pencinta keadilan – pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kekal dipenjara 12 tahun kerana mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella.

Keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah ini sekali gus menutup pintu terakhir rayuan Siti Bainun, yang dilihat tenang di kandang perayu, walaupun memakai jubah dan tudung serba kuning yang kontras dengan beratnya hukuman menanti.

“Kami mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah. Tiada kekhilafan dari segi fakta atau undang-undang,” tegas Azman ketika membacakan keputusan yang memaku noktah kepada episod panjang ini.

Kes ini pernah menggoncang hati rakyat apabila Bella, ketika itu berusia 13 tahun, ditemui dengan kesan melecur, lebam, dan tanda-tanda penderaan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Kejadian di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021 itu menimbulkan gelombang kemarahan dan solidariti di media sosial, menjadikan nama Bella simbol perjuangan melawan penderaan kanak-kanak.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mensabitkan dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Bainun, memerintahkan dia menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Selain itu, dia yang didakwa mengabai dan menganiaya mangsa di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021, juga diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Dia yang sudah menjalani hukuman di Penjara Kajang selama dua tahun, gagal dalam permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu selepas ia ditolak oleh mahkamah sama.

Pada 2 Mei 2024, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Siti Bainun untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu, dan dia kemudiannya merayu keputusan di Mahkamah Rayuan. – MADANI NEWS