Dua pelancong Malaysia parah dibakar lelaki di Bangkok

DUA rakyat Malaysia cedera parah selepas disimbah bahan kimia thinner dan dibakar oleh seorang lelaki di luar sebuah pusat belah di Bangkok malam tadi.
Ketua Polis Lumpini Yingyos Suwanno berkata kejadian pukul 10 malam (pukul 11 Malam Waktu Malaysia) itu berlaku ketika mangsa, Ong Yik Leong, 26, dan Gan Xiao Zhen, 27, duduk di tangga luar pusat beli-belah Big C di pusat bandar Bangkok.
‘’Kita mengenalpasti lelaki yang melakukan perbuatan itu ialah Warakon Pabtaisong dari wilayah Sa Kaeo. Polis merampas bahan bukti termasuk 1.5 liter cecair thinner dan pemetik api,’’ katanya lapor Khaosaeng.com.
Saksi memberitahu, mereka melihat Warakorn bercakap dengan pasangan Malaysia itu sebelum masing-masing beredar.
‘’Pelancong itu kemudian duduk di tangga pusat beli belah berkenaan, sebelum secara tiba-tiba Warakorn menghampiri dan menyimbah dengan thinner ke atas kedua-dua mereka dan menyalakan pemetik api,’’ kata seorang saksi.

Lelaki tersebut kemudian ditahan oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis dan kini ditahan Balai Polis Lumpini.
Menurut polis, Warakorn mengaku melakukan serangan itu dan menyatakan dia tidak ada masalah dengan pasangan tersebut sebaliknya memberitahu tertekan kerana tiada pekerjaan dan lapar.
Dia yang merupakan bekas peninju dipecat sebagai pengawal keselamatan baru-baru ini dan menghadapi masalah mendapat pekerjaan.
Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Thailand, Bong Yik Jui memberitahu Bernama beliau telah melawat mangsa yang kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Beliau berkata, Ong dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Polis manakala Gan menerima rawatan di Hospital Peringatan Raja Chulalongkorn.
‘’Ong mengalami lecur tahap kedua di bahagian atas badan, depan dan belakang. Kecederaannya serius tetapi tidak mengancam nyawa.
“Gan mengalami 36 peratus lecur tahap kedua, namun keadaannya stabil dan sedar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata pihak kedutaan telah menghubungi keluarga Ong dan Gan untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.