Empat pakar termasuk dari Serdang bantu jalankan bedah siasat jenazah Zara Qairina

EMPAT pakar terlibat dalam menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu bermula pukul 11 pagi ini.
Selain Pakar Patologi HQE, Dr. Jessie Hiu, turut terlibat ialah Pakar Patologi Forensik Hospital Sultan Idris Shah,Serdang Dr Khairul Anuar Zainun yang tiba pada pukul 10.55 pagi dari Serdang. Mereka dibantu oleh dua lagi pakar.
Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham, Hamid Ismail berkata, beliau percaya langkah memanggil khidmat pakar perunding patologi dari luar membantu proses bedah siasat adalah bagi memastikan keadilan untuk arwah Zara Qairina.
“Saya percaya pihak polis mahu memastikan semua elemen untuk keadilan kepada Zara, jadi dibawa seorang doktor pakar dari Semenanjung untuk mengelakkan apa-apa pertuduhan yang tidak baik,” katanya.
Beliau berkata, proses bedah siasat dimulakan pada kira-kira jam 11 pagi selepas selesai pengecaman jenazah oleh ibu arwah Zara Qairina.
“Sebelum itu, doktor juga memberi taklimat kepada keluarga Allahyarham mengenai proses bedah siasat dan prosedur dimulakan selepas ibu arwah membuat pengecaman jenazah,” katanya.
Katanya, proses bedah siasat itu dijangka mengambil masa antara empat hingga lima jam dan Dr. Jessie akan memberitahu keluarga Allahyarham hasil proses tersebut.
“Bedah siasat mungkin ambil masa empat hingga lima jam, kita tidak tahu. Kemudian, Dr Jessie akan memberitahu keluarga apa yang dijumpai dan selepas itu, jenazah akan dibawa balik ke Sipitang oleh pihak polis untuk dikebumikan semula,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang menunggu hasil bedah siasat supaya terus berdoa memohon agar keadilan untuk arwah dapat ditegakkan.
Malam tadi jenazah Allahyarham yang digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ibu di Sipitang tiba di HQE pada pukul 7.30 malam.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth sebelum dikebumikan pada hari sama.