Gaji guru : Afnan kata Nik Nazmi tak buat ‘homework’…patut kalah pemilihan | Madani News

Gaji guru : Afnan kata Nik Nazmi tak buat ‘homework’…patut kalah pemilihan

Gaji guru : Afnan kata Nik Nazmi tak buat ‘homework’…patut kalah pemilihan
Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden

SEPERTI diduga Pas ternyata tidak berdiam diri apabila semalam, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa gaji guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sekitar RM600 hingga RM700 sebulan dan Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga mengatakan kadar itu bukan sahaja tidak mematuhi perintah gaji minimum, malah melanggar Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.

Di Dewan Rakyat hari ini, Ketua Pemuda Pas yang juga Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden dengan tegas menyifatkan bekas Naib Presiden PKR itu tidak membuat ‘homework’ sebelum membuat dakwaan tidak tepat tersebut.

“Dia kata kita bagi gaji RM600, RM700 sahaja atas alasan sukarela. Kita bukan bagi gaji, kita bagi elaun sukarela. Gaji guru ini disamakan dengan syarikat swasta. Dia kata kalaulah PASTI dianggap sukarela, maka syarikat swasta pun nanti akan guna istilah sukarela.

“Saya nak tegaskan, tuduhan Setiawangsa ini tak betul dan jauh menyimpang daripada apa yang sebenar berlaku. Saya rasa dia tak buat ‘homework’ macam PMX. PMX buat ‘homework’ bagus, dia tak buat ‘homework’. Patut sebab itu dia kalah pemilihan,” katanya. ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata, guru PASTI berkhidmat tanpa meminta imbuhan ketika mula-mula hadir memohon untuk berkhidmat di premis berkenaan.

“Mereka kata kami nak berkhidmat dengan ikhlas. Kita beritahu dekat dia, kita elaun tak boleh bayar mahal sebab yuran kita rendah. Dia kata tak apa, kami nak sumbang tenaga. Keikhlasan guru-guru inilah yang membantu masyarakat kita kenal ABC, kenal alif ba ta. Sepatutnya Setiawangsa berterima kasih kepada kita membantu melengkapkan institusi pendidikan prasekolah di peringkat kerajaan.

“Setiawangsa (Nik Nazmi) juga sebut guru PASTI tak mencarum KWSP, Perkeso. Saya nak beritahu kepada Setiawangsa, tak betul. Guru PASTI kita mencarum KWSP di bawah skim i-Saraan. Guru PASTI kita carum Perkeso di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri. Ada caruman,” katanya.

Beliau mempersoalkan sebab Ahli Parlimen Setiawangsa begitu berminat bercakap mengenai PASTI dan menawarkan kepada wakil rakyat itu untuk duduk di PASTI secara percuma jika mahu belajar di situ.

“Sepatutnya Setiawangsa bercakap tentang elaun guru KAFA, elaun guru takmir, elaun imam yang dilaporkan masih di bawah paras gaji minima. Ini semua tanggungjawab kerajaan. Boleh jadi Setiawangsa rasa dia dah pembangkang, bukan lagi jadi kerajaan,” katanya.