Inspirasi perjuangan kemerdekaan dari Pasir Salak ke Padang Tenggala kepada Tanah Melayu | Madani News

Inspirasi perjuangan kemerdekaan dari Pasir Salak ke Padang Tenggala kepada Tanah Melayu

Inspirasi perjuangan kemerdekaan dari Pasir Salak ke Padang Tenggala kepada Tanah Melayu
Penulis (kiri) mengiringi Orang Besar Jajahan Perak Tengah Dato' Wahab Dato' Seri Azizul Hasan, meninjau replika rumah Maharaja Lela yang dibina semula selepas terbiar, di Kompleks Sejarah Pasir Salak beberapa tahun lalu.

ARTIKEL KHAS SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA

TAHUN ini kita meraikan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-68. Seperti saban tahun, sambutan meriah tetap dilaksanakan kecuali ketika pandemik Covid-19. 

 Hari Kebangsaan sememangnya wajib diraikan. Namun sejauh manakah pengisiannya benar-benar meresap ke dalam diri setiap rakyat Malaysia untuk mengingati sejarah bagaimana bumi tercinta ini dijajah selama 500 tahun.

Apakah yang boleh dipelajari daripada penjajahan yang bermula dengan kuasa barat, disusuli Jepun dan seterusnya ancaman komunis? Apakah semangat yang harus dimiliki dalam mengisi kemerdekaan untuk membawa Malaysia ke hadapan dengan lebih maju, makmur dan harmoni?

Sesetengah pihak terutama mereka yang pernah hidup dalam era sebelum merdeka melihat cara perayaan disambut kelihatan sebagai pesta sukaria, sedangkan ia sepatutnya mewujudkan keinsafan mendalam berhubung nilai kedaulatan serta harga kemerdekaan tanah air.

Ini bagi membolehkan kita mengambil iktibar daripada kisah perjuangan kemerdekaan bagi membentuk perjalanan masa depan yang perlu dilalui dengan langkah yang bijak, cermat dan berhati-hati.

Saya suka mengambil kisah perjuangan kemerdekaan ini melalui cerita pembunuhan J.W.W Birch di Pasir Salak (!875) hinggalah perjuangan tahun-tahun terakhir dan pengisian sosio-ekonomi bangsa menuju kemerdekaan tanah air (1948 -1957) yang saya anggap sebagai ‘Laluan Merdeka Dari Pasir Salak Ke Padang Tenggala’. 

Terdapat dua watak utama dalam kisah perjuangan itu yang kekal dalam lipatan sejarah iaitu watak pertama ialah Dato’ Seri Maharaja Lela yang mengetuai gerakan menentang penjajahan British dengan membunuh Residen Inggeris, J.W.W. Birch pada November 1875, di tepi tebing Sungai Perak. 

Allahyarham Nasaruddin Abd. Rais (kiri sekali) menggunakan kebijaksanaan diplomasinya dengan membawa Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya ke Bota bagi mendapatkan kerjasama British dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

Manakala watak kedua ialah Allahyarham Nasaruddin Abd. Rais. Beliau  adalah pejuang yang meneruskan perjuangan menyediakan pengisian bagi mempersiapkan bangsa untuk merdeka antara tahun 1948-1953 (Nasaruddin meninggal dunia dalam usia muda pada tahun 1953).  

Kedua-dua tokoh dan kampung terlibat  terletak dalam daerah Perak Tengah yang jarak antara satu sama lain adalah 31.7 km atau 30 minit perjalanan dengan kenderaan. Kebetulan, saya adalah anak jati kelahiran Kampung Tok Paduka Raja, Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak yang terletak dalam daerah Perak Tengah.

Dato’ Seri Maharaja Lela dan sekutunya telah berjaya membuktikan bahawa bangsa Melayu juga mempunyai keberanian menentang sesiapa sahaja yang menggugat kesabaran orang Melayu. Jiwa anak Melayu Pasir Salak telah mencatatkan sejarah sebagai orang Melayu pertama di Tanah Melayu yang berani membunuh Residen Inggeris ketika itu.

Orang Pasir Salak bukanlah lari bersembunyi sebaliknya mereka berani berhadapan dengan musuh seperti J.W.W Birch, Kapten Innes dan kakitangannya seperti Mat Arshad. Walaupun Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor serta pengikut mereka kemudiannya diburu dengan penuh dendam oleh British, mereka sanggup mati di tali gantung atas prinsip perjuangan menentang penjajah.

 Apabila memasuki fasa menuju kemerdekaan, lahir sosok generasi baru yang lebih progresif, dinamik serta berpendidikan moden seperti Nasaruddin Rais. Beliau  sentiasa memikirkan bagaimana untuk membina negara yang merdeka dengan cabaran perlu berkongsi hidup dengan kaum lain (dianggap pendatang ketika itu) .

Pada masa beliau juga memastikan nasib orang Melayu terbela melalui peningkatan dalam bidang ekonomi bagi membolehkan mereka  ukeluar daripada kemiskinan serta membina kehidupan  lebih baik sebagai bangsa berdaulat sesudah merdeka.

Nasaruddin tidak membawa watak antagonis kepada British. Sebaliknya beliau adalah ahli Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, iaitu badan yang bertanggungjawab untuk menyediakan Perlembagaan Negara dan syarat-syarat kerakyatan kepada kaum bukan Melayu ketika itu.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (era pentadbiran British) telah memainkan peranan membela nasib orang Melayu dengan mendapatkan kelulusan British bagi mengeluarkan 20,000 ekar tanah rizab hutan Bota pada tahun 1950 untuk diagihkan kepada penduduk setempat di Bota, Lambor dan Layang-Layang. Antara tanah tersebut ialah Rancangan Felcra Nasaruddin, Bota yang ada pada hari ini.

Melihat potensi industri getah Tanah Melayu, Nasaruddin diberi kepercayaan British untuk mewakili Malaya ke Sidang Getah Antarabangsa di Copenhagen pada tahun 1953 bagi menuntut agar subsidi getah dinaikkan dan dijadikan tabung tanaman semula getah ketika itu.

Malangnya, Nasaruddin terkorban dalam nahas pesawat di India ketika dalam perjalanan menuju ke persidangan tersebut.

Kedua-dua tokoh ini menggunakan keberanian dan kebijaksanaan dalam menguruskan kemerdekaan tanah air. 

 Dato’ Seri Maharaja Lela telah memberi pengajaran kepada British supaya mempunyai had dalam usaha menjajah Tanah Melayu serta mencabar orang Melayu. Manakala Nasaruddin pula memujuk British menjaga kepentingan orang Melayu terutama dalam pembangunan ekonomi bagi mengisi kemerdekaan.

Kedua-dua  mereka mempunyai persamaan iaitu tiada kubur yang pasti sesudah kematian mereka. Namun ditakdirkan Allah SWT bukti peninggalan kedua-dua insan ini  masih wujud  seperti tapak rumah Maharaja Lela serta rumah keluarga Nasaruddin iaitu keluarga Kulub Drais di Kampung Padang Tenggala, Parit, Perak.

Namun sedihnya, replika rumah Maharaja Lela di Kompleks Sejarah Pasir Salak sudah dua kali terbiar. Manakala rumah dan kisah Nasaruddin pula tidak mampu dijadikan sebagai galeri tokoh nasionalisme yang berjasa besar kepada negara.

Walaupun kerajaan negeri khususnya tidak menunjukkan minat terhadap ‘legasi bukti hidup’ kedua-dua tokoh ini, saya telah berusaha memperjuangkan pembinaan semula replika rumah Maharaja Lela di Pasir Salak serta menghidupkan kembali sejarah Nasaruddin Rais pada tahun 2020 suatu masa dulu. 

Dalam proses menghayati sejarah dan kisah kedua watak ini, sedikit sebanyak watak mereka telah meresapi jiwa saya yang saya rasa ada kombinasi keduad-duanya pada diri saya.

Alfatihah untuk Allahyarham Dato’ Seri Maharaja Lela dan Nasaruddin Abd Rais.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi