Isu Jalur Gemilang : Dr. Akmal terus kental hadapi ‘serangan’ pemimpin DAP,MCA  | Madani News

Isu Jalur Gemilang : Dr. Akmal terus kental hadapi ‘serangan’ pemimpin DAP,MCA 

Isu Jalur Gemilang : Dr. Akmal terus kental hadapi ‘serangan’ pemimpin DAP,MCA 
Ketua Pemuda UMNO Dr. Akmal Saleh

ISU pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang semakin panas, walaupun kes itu kini dalam siasatan polis.

Apabila Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Akmal Saleh menyatakan beliau akan kedai tersebut Khamis ini walaupun membatalkan ‘kelas’ memasang bendera dengan betul, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membalas dengan menyatakan DAP akan menaja Jalur Gemilang gergasi untuk dipasang di premis tersebut.

Kata Anthony tersebut akan dipasang petang ini supaya orang ramai boleh melihat Jalur Gemilang itu telah dipasang dengan betul.

Dalam kenyataan, beliau berkata ahli DAP negeri akan mengedarkan percuma 831 Jalur Gemilang sebagai tanda semangat perpaduan sempena 31 Ogos, jika ada mana-mana pihak cuba mengganggu ketenteraman di kawasan premis itu.

“Ini adalah tindakan buli secara terang-terangan yang tidak boleh diterima sama sekali. Bukan sahaja tindakan buli di sekolah perlu ditentang, tindakan buli terhadap warga emas juga perlu dibantah sekeras-kerasnya.

“Namun, untuk menangani pihak kurang matang seperti ini, kita perlu menunjukkan kewarasan berfikir yang lebih tinggi dan menggunakan cara yang aman dan beradab,’’ katanya dalam kenyataan.

 Beliau turut membidas pihak yang cuba memberi tekanan terbuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa pekedai di Pulau Pinang itu, sebagai ‘tindakan mencampuri dan cuba mempengaruhi keputusan pendakwaan tanpa pertimbangan yang sewajarnya’.

“Pihak peguam negara perlu diberi ruang secara bebas untuk membuat sebarang keputusan tanpa apa-apa tekanan politik,” katanya.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong turut membidas Dr. Akmal  dengan menegaskan penguatkuasaan harus berpaksikan kepada kedaulatan undang-undang bukan ultimatum politik atau ugutan peribadi.

Ka Siong berkata, pemimpin harus membangkitkan semangat patriotisme melalui pendidikan, teladan dan tindakan yang wajar bukannya memainkan peranan sebagai penguat kuasa lantikan sendiri.

Katanya, mengubah kesilapan menjadi isu politik hanya memecahbelahkan dan tersasar daripada tumpuan sebenar untuk bersama membangunkan negara.

“Kita tidak menguruskan negara ini hanya bersandarkan kepada telunjuk orang politik yang wajib dilaksanakan. Ugutan seperti ini hanya akan menambah perpecahan rakyat. Di saat masyarakat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan patriotik, kini semangat itu mungkin tidak lagi berkobar-kobar.

“Mereka mungkin merasakan, kenapa mahu mengambil risiko mengibarkan Jalur Gemilang kerana jika berlaku kesilapan, mereka sendiri yang diancam dan dijadikan mangsa orang politik?” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, paling dikhuatiri jika masyarakat mengambil keputusan tidak mengibarkan Jalur Gemilang dan ini amat menyedihkan di saat kita sedang meraikan kemerdekaan negara.

“Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka, manakala kita pula tidak mempolitikkannya,” katanya.

Walaupun dibidas oleh pemimpin DAP, MCA namun Dr.Akmal terus kental apabila menegaskan, pihaknya membatalkan ‘kelas’ memasang bendera di kedai perkakasan di Pulau Pinang itu namun akan tetap ke sana, Khamis ini.

“Kita nak tengok sama ada Loke Siew Fook pasang bendera dengan betul atau tidak,” katanya merujuk tindakan DAP menaja Jalur Gemilang gergasi untuk dipasang pada premis kedai terbabit.

Beliau turut mengalu-alukan ahli DAP yang ingin menyambutnya di kedai terbabit.