Jalur Gemilang: Ketika 'bos' sibuk tegur orang, Pemuda UMNO Terengganu sendiri buat silap | Madani News

Jalur Gemilang: Ketika ‘bos’ sibuk tegur orang, Pemuda UMNO Terengganu sendiri buat silap

Jalur Gemilang: Ketika ‘bos’ sibuk tegur orang, Pemuda UMNO Terengganu sendiri buat silap
KESILAPAN itu telah diperbetulkan segera.

KETIKA Pemuda UMNO Malaysia sibuk mengkritik pihak-pihak yang mempermainkan atau cuai dalam isu berkaitan jalur gemilang, salah satu cawangan negerinya pula membuat kesilapan apabila memaparkan bendera Malaysia yang tidak lengkap.

Pemuda UMNO Terengganu seakan ‘tersadung bendera’ sendiri apabila laman Facebook rasmi mereka memaparkan satu poster mengenai kes buli Zara yang memaparkan gambar Jalur Gemilang dengan hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti sepatutnya.

Ironinya, poster itu dibuat ketika ‘bos’ mereka di peringkat nasional begitu aktif membantah perbuatan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dan pihak-pihak yang mempermainkan isu itu.

Kesilapan itu pantas dikesan warganet, yang tidak melepaskan peluang untuk membalas dengan nada sinis. Ada yang berkata, “Nak tegur rumah orang, pastikan periksa betul-betul rumah sendiri.”

Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera segera tampil memohon maaf dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan kesilapan sebegini, walaupun ia dilakukan oleh pihak yang membuat poster secara sukarela.

“Salah tetap salah, dan saya mengambil tanggungjawab sebagai ketua untuk memohon maaf,” katanya sambil menyerahkan perkara itu kepada pihak berwajib untuk siasatan.

Poster itu dipadam sekitar jam 12.55 tengah hari dan digantikan dengan versi yang mempunyai bilangan jalur yang betul.

Walaupun Pemuda UMNO Terengganu menegaskan isu ini bukan soal politik parti, ramai pemerhati melihat ia sebagai pengajaran berguna – bahawa dalam dunia media sosial yang bergerak sepantas kilat, kesilapan sekecil dua jalur pun boleh menjadi bahan ketawa satu negara.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews