JDT cemas sebelum bangkit atasi N. Sembilan; Selangor catat kemenangan pertama


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dikejutkan dengan permulaan penuh dramatik apabila ketinggalan dua gol seawal 12 minit permainan, sebelum bangkit mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan Negeri Sembilan FC (NSFC) 5-3 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.
Pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz, melakukan rombakan besar apabila merehatkan bintang utama Arif Aiman Hanapi dan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, manakala Samuel Castillejo diketepikan kerana kecederaan. Pemain warisan, Christian Abad, diberi tanggungjawab menjaga gawang, dengan Moussa Sidibe, Oscar Arribas dan Iker Undabarrena turut menghiasi kesebelasan utama.
Namun, perancangan awal itu diuji hebat apabila pelawat mendahului seawal minit kelapan menerusi sentuhan penyudah Joseph Esso selepas menerima lorongan kemas Alexander Agyakwa. Empat minit kemudian, Negeri Sembilan menggandakan jaringan melalui Jovan Motika yang memanfaatkan sepakan percuma pantas Agyakwa, gol yang disahkan oleh VAR walaupun pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid.
JDT akhirnya menemui rentak pada minit ke-38 apabila Jon Irazabal menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut Arif Aiman. Empat minit sebelum rehat, kesilapan pertahanan pelawat, Wai Lin Aung, yang menolak bola ke belakang membolehkan Joao Figueiredo menyamakan kedudukan 2-2.
Babak kedua menyaksikan tuan rumah semakin garang. Irazabal meledak gol kedua peribadi pada minit ke-56 selepas menyambar bola muntah sepakan sudut Hector Hevel, sebelum Arif Aiman menambah gol keempat hanya seminit berselang.
Negeri Sembilan cuba memberi tentangan apabila Motika menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-60 untuk merapatkan jurang kepada 3-4. Namun, sepakan akrobatik Bergson da Silva pada minit ke-90 menutup pintu kebangkitan pelawat sekaligus mengesahkan kemenangan kedua berturut-turut JDT dalam Liga Super musim ini.
Dengan kemenangan ini, Harimau Selatan kekal sebagai pasukan yang sukar digugat di laman sendiri, meskipun bermula perlahan dan berdepan asakan berbahaya dari skuad Rusa.
Sementara itu, Selangor menutup episod duka tewas kepada JD) Jumaat lalu apabila menewaskan kelab Brunei, DPMM FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Turun buat kali pertama di gelanggang sendiri musim ini, Selangor bermula garang dan berjaya berada di depan menerusi rembatan Kevin Deeromram ketika perlawanan baru memasuki minit kelima.
Pemain import dari Thailand itu kemudian menggandakan kedudukan buat Gergasi Merah dengan meledak gol kedua pada minit ke-36 selepas menyudahkan hantaran lintang Quentin Cheng.
Quentin terus menjadi watak penting dalam gerakan serangan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi apabila hantaran lintangnya pada minit ke-67 pula disudahkan dengan tandukan Chrigor Flores Moraes.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor meraih tiga mata pertama musim ini selepas tewas 0-3 kepada JDT dalam aksi sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim. – MADANI NEWS