Kalau benarlah….ia bukan sahaja pengkhianatan tetapi tragedi kepada keselamatan negara

Jika mereka melakukan perbuatan berkenaan , ia bukan sahaja satu pengkhianatan kepada amanah diberikan tetapi juga meletakkan negara dalam bahaya.
HARI ini lima pegawai perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara 10 individu yang direman kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Walaupun turun diremah ialah dua wartawan, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan seorang wanita warga asing namun penangkapan ke atas lima pegawai ATM tersebut amat menarik perhatian ramai.
Sama ada mereka bersalah atau tidak, akan didakwa atau tidak akan bergantung kepada soal siasat yang dijalankan SPRM sepanjang reman dijalankan.
Empat lelaki direman tujuh hari sehingga 20 Ogos, dua lelaki dan seorang wanita direman dua hari sehingga 18 Ogos, manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman tiga hari sehingga 15 Ogos.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan SPRM pagi tadi.
Tetapi seandainya benarlah kes itu melibatkan pembocoran maklumat oleh lima pegawai ATM tersebut, ia adalah sesuatu yang malang dan boleh dianggap ‘satu tragedi’ kepada keselamatan negara.
Ia memandangkan sudahlah sebelum ini kita dikejutkan dengan sindiket ‘counter setting’ di KLIA yang melibatkan segelintir pegawai Imigresen dan kini pegawai tentera pula disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan.
Tidak kiralah sama ada di KLIA atau di sempadan tanah air apa yang pasti, jika mereka melakukan perbuatan berkenaan , ia bukan sahaja satu pengkhianatan kepada amanah diberikan tetapi juga meletakkan negara dalam bahaya.
Bayangkanlah dengan bayaran rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap barangan, mereka bersekongkol dengan sindiket untuk menyeludup barang-barang termasuklah dadah dan rokok dari negara jiran yang dianggarkan bernilai RM5 juta.
Pembongkaran sindiket ‘counter setting’ dan ops sohor bagi menahan pegawai perisikan ATM itu mungkin kes yang dapat dikesan, apakah mungkin ada ramai lagi pengkhianat seumpama itu yang bergetanyangan di sempadan tanah air?
Semoga ‘spesis’ tersebut hanya segelintir daripada ribuan lagi anggota agensi penguatkuasa yang menolak untuk menyuap mulut anak isteri atau ibu bapa mereka dengan wang haram.
Apapun dalam kes melibatkan lima pegawai tentera, kita harus menghormati proses undang-undang yang akan menentukan mereka bersalah atau tidak.Sama-sama kita tunggu.