Kenapa tiada bedah siasat dari awal? Takiyuddin persoal polis | Madani News

Kenapa tiada bedah siasat dari awal? Takiyuddin persoal polis

Kenapa tiada bedah siasat dari awal? Takiyuddin persoal polis
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

APABILA Jabatan Peguam Negara mengarahkan supaya bedah siasat dilakukan ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir, ramai tertanya-tanya kenapa sejak awal kes itu berlaku proses tersebut tidak dilakukan.

Ketiadaan bedah siasat tersebut turut memungkinkan pelbagai spekulasi bertebaran sehingga timbul persoalan apakah ada sesuatu yang mahu disembunyikan. 

Hari ini persoalan yang sama bergema di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Kota Bharu dari Perikatan Nasional, Datuk Seri mempersoalkan mengenai proses bedah siasat yang gagal dilaksanakan di peringkat awal ke atas jenazah pelajar tingkatan satu,  Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah tersebut.

Beliau berkata, beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menuntut penjelasan pihak berkuasa berhubung kejadian yang menimpa gadis berusia 13 tahun itu.

‘’ Saya ingin menyentuh perkara ini bahawa proses ‘post-mortem’ ini sepatutnya diadakan tanpa apa-apa permintaan daripada mana-mana pihak, ‘there is standard procedure’ di dalam kes kematian mengejut ataupun kematian. Kes seperti ini perlu diadakan ‘post-mortem’ ni kita nak tahu kenapa pihak polis tidak menjalankan ‘post-mortem’ ini selepas kematian ini dilaporkan,” katanya.

 Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Takiyuddin turut agar kerajaan dapat mengemukakan laporan terperinci mengenai kematian Zara Qairina di Dewan Rakyat.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) ketika mencelah  turut meluahkan penghargaan terhadap keputusan Ketua Polis Negara bagi menubuhkan pasukan khas dari Bukit Aman untuk menjalankan siasatan berhubung kes kematian Zara.

“Setujukah Kota Bharu (Takiyuddin) kalau kita menggesa agar Ketua Polis Negara turut mengarahkan siasatan yang menyeluruh berkenaan punca berlakunya kelemahan dan intipati kelemahan dalam siasatan yang terdahulu.

“Setujukah Yang Berhormat Kota Bharu supaya siasatan ini merangkumi perkara-perkara seperti mengenal pasti pegawai dan anggota polis terlibat siasatan yang tidak dilaksanakan dengan sempurna ini?” soalnya.

Sementara itu Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pula bangun bertanyakan sama ada Takiyuddin setuju dua kementerian bertanggungjawab dan diminta meletak jawatan susulan kejadian tragis itu.

“Dua kementerian terlibat ini iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), setuju ke kalau yang kedua-dua jawatan menteri ini meletak jawatan atas kegagalan?” soalnya.

Takiyuddin kemudiannya meminta supaya perkara yang dibangkitkan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu dimasukkan ke dalam ucapan perbahasan beliau.

Sementara itu, ketika membahas RMK-13, seorang lagi Ahli Parlimen Kuala Krai  Abdul Latiff Abdul Rahman dari Perikatan Nasional berkata, kes itu membuktikan bahawa isu buli bukan lagi sekadar masalah disiplin, sebaliknya kegagalan sistemik yang berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh.

“Saya menuntut ketelusan, keadilan serta reformasi menyeluruh melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak polis (PDRM). Saya menggesa penggantungan pegawai cuai dan penubuhan suruhanjaya siasatan bebas. Keadilan untuk Zara Qairina adalah keadilan untuk seluruh anak-anak Malaysia, termasuk juga pelajar-pelajar IPT (Institut Pengajian Tinggi).

“Kita tidak boleh lagi membiarkan nyawa pelajar menjadi korban akibat kelemahan dan kelalaian institusi. Sudah tiba masanya kita mengangkat isu ini dengan sangat serius bukan hanya dengan kata-kata, tetapi melalui tindakan dan reformasi sebenar sebagaimana yang dilaung-laungkan,” katanya.

Semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menghantar satu pasukan bagi mengambil alih siasatan kes kematian Zara daripada Ibu Pejabat Kontinjen Sabah.

Jenazah Allahyarham Zara Qairina dibedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth semalam selepas kubur arwah digali semula pada petang Sabtu dan dikebumikan semula tengah malam semalam di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Sipitang.