Kerajaan Negeri PN tidak akan kompromi soal perjudian – Dewan Ulama Pas

KERAJAAN Negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) tidak akan berkompromi dengan maksiat seperti perjudian kerana asas perjuangan mereka adalah prinsip amar ma’ruf nahi munkar serta tuntutan syariah Islamiyyah.
Bagaimanapun Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya mengakui bahawa pelaksanaan memerlukan pendekatan berperingkat agar tidak menzalimi mana-mana pihak yang terlibat, termasuk peniaga dan pekerja nombor ramalan.
“Menteri Besar Kedah mengambil sedikit masa sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula pada 2023, bagi memberi ruang kepada pengusaha dan pekerja mencari sumber pendapatan serta perniagaan lain yang halal dan berkat,” katanya lapor HarakahDaily.
Beliau berkata, kesedaran mendalam terhadap keburukan perjudian mendorong Kerajaan Negeri Kedah tampil tegas menamatkan pemberian lesen premis perjudian nombor ramalan (NFO) berkuat kuasa 1 Januari 2023, menjadikannya negeri ketiga selepas Kelantan dan Terengganu, serta disusuli Perlis.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pengharaman tersebut merupakan tindakan tegas berlandaskan prinsip Islam, selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam aspek pelesenan premis perniagaan.
“Langkah menamatkan lesen perjudian nombor ramalan (NFO) ini seiring dengan kuasa pelesenan yang berada di bawah pentadbiran PBT negeri. Namun, lesen utama industri perjudian dalam negara sebenarnya masih tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, melibatkan beberapa akta persekutuan yang berbeza,” katanya.
Pesuruhjaya Pas Kedah itu turut menegaskan, industri perjudian telah lama berakar dalam struktur sosial negara dan terbahagi kepada beberapa kategori utama.
“Pengharaman di negeri-negeri Empat Negeri Perikatan Nasional (SG4) hanya melibatkan kategori nombor ramalan (NFO) namun kategori paling besar dan utama dalam industri ini ialah permainan mesin dan kasino yang beroperasi secara berlesen di Genting Highlands Resort serta First World Hotel,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh kewujudan elemen perjudian secara tersembunyi yang semakin meresap ke dalam masyarakat tanpa disedari, antaranya permainan mesin ‘claw’ yang sering dimainkan oleh kanak-kanak.
“Malah, pertandingan berbayar yang bergantung pada nasib juga secara teknikal termasuk dalam unsur perjudian,’’ katanya.
Tegas beliau, pengharaman perjudian bukan isu khilaf fiqh hingga boleh diperdebatkan, sebaliknya adalah hukum qat’ie yang tidak boleh diragui atau disanggah.
“Pelaksanaannya pula bergantung kepada keberanian serta iltizam politik pemerintah. Ia bukan soal pilihan, tetapi satu kewajipan,” tegasnya.
Hukum qath’ie adalah hukum yang didasarkan pada dalil yang pasti dan jelas, tidak meninggalkan ruang untuk penafsiran lain atau keraguan. Dalil qath’iemenunjukkan makna yang pasti dan tidak boleh dipalingkan dari makna aslinya.
Ahmad turut mengimbau pendekatan penuh hikmah yang pernah diambil oleh Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa mentadbir Kelantan, yang mana sesi libat urus bersama masyarakat bukan Islam telah diadakan bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap isu perjudian.
“Hasilnya amat jelas tiada satu pun agama yang mengizinkan penganutnya berjudi. Maka, perjuangan memerangi judi ini adalah misi sejagat yang melangkaui batas agama dan bangsa,” tegasnya.
Beliau juga berkata, usaha membanteras industri perjudian bukan suatu tugas mudah kerana akarnya telah mencengkam terlalu lama dalam sistem sosial dan ekonomi negara.
“Ia ibarat mencabut sebatang pohon yang kukuh akarnya ke dasar tanah. Maka, tanggungjawab kita adalah memastikan tanah itu tidak terbungkas dan pohon judi itu tidak merosakkan pohon-pohon lain di sekelilingnya,” ujarnya berseni.
Ahmad juga memberi amaran terhadap sebarang cubaan untuk menangguhkan pengharaman perjudian atas alasan ekonomi atau kebajikan, menyifatkan sikap sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab.
“Kalau kita menunggu berada barulah mahu berbincang soal menghapuskannya, ibarat kita membiarkan pohon yang beracun tadi terus membesar dan mencengkam tanah lebih dalam. Pohon ini bukanlah memberi teduhan, tetapi menebar racun yang membinasakan,” katanya
Sehubungan itu beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bangkit menolak industri perjudian dalam semua bentuknya dan berdiri bersama kerajaan negeri yang memerintah berlandaskan Islam dalam usaha menyucikan tanah air daripada najis judi.
“Usahlah kita menjadi golongan yang merelakan kejahatan ini terus subur. Sebaliknya, marilah kita bersama mencabut akarnya dan menanam benih keberkatan dalam masyarakat,” katanya.