Ketegasan Asyraf Wajdi hadapi ibu bapa dijangkiti sindrom ‘oh anakku Sazali’

PENGERUSI Mara, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki ternyata tidak gentar dalam mempertahankan komitmennya untuk memastikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara dan institusi pendidikan di bawah Mara bebas buli.
Dalam catatan terbaru dalam Facebooknya , Dr.Asyraf Wajdi mendedahkan bagaimana ibu bapa yang anak-anak mereka dibuang daripada MRSM kerana terlibat kes buli mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau dan Mara.
‘’Saya katakan “Bring it on!”. Saya nak jaga keselamatan majoriti pelajar bukan segelintir yang berlagak samseng,’’ tegasnya diiringi dengan hashtag #YouTouchYouGo.
Apa yang didedahkan oleh Asyraf Wajdi agak mengejutkan kerana masih ada ibu bapa yang menyayangi anak mereka tidak bertempat dan ‘dijangkiti’ sindrom ‘oh anakku Sazali’.
Oleh kerana terlalu sayangkan anak dan begitu yakin anak mereka anak yang baik, mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa anak kesayangan mereka dibuang daripada MRSM kerana terlibat buli.
Untuk menutup malu dan terlalu percaya bahawa anak mereka tidak bersalah serta percaya kepada ‘kelentong’ anak tersebut maka mereka mengancam untuk menyaman Asyraf Wajdi dan Mara.
Sikap seumpama itu sama sekali tidak akan memberi kebaikan bukan sahaja kepada ibu bapa terlibat tetapi juga anak mereka. Sudah pasti Asyraf Wajdi dan Mara tidak akan bertindak terburu-buru dalam mengambil tindakan.
Semua kes akan disiasat dengan rapi dan jika ia melibatkan kes polis, Asyraf Wajdi dan Mara akan membiarkan siasatan polis selesai barulah tindakan dilakukan tetapi apa yang pasti jika mereka bersalah pintu pagar MRSM terbuka luas untuk mereka keluar secara tidak terhormat.
Sememangnya perbuatan buli tidak boleh dibiarkan kerana ia mendatangkan keburukan yang dahsyat jika dibiarkan. Mangsa buli akan mengalami tekanan mental dan fizikal sehingga boleh mendorong mereka melakukan perbuatan di luar dugaan bukan sahaja membunuh diri tetapi juga membalas dendam terhadap pembuli atau melepaskan geram kepada orang lain yang tidak bersalah.
Ibu bapa yang bercadang mahu mengambil tindakan ke atas Asyraf Wajdi dan Mara sebenarnya berfikiran cetek tanpa mempertimbangkan bahawa kedua-dua pihak berkenaan tidak membuang anak mereka daripada MRSM tanpa bukti konkrit.
Kita boleh memahami jika tindakan itu dibuat kerana terbukti anak mereka difitnah tetapi setakat ini boleh dikatakan majoritinya benar-benar terlibat dalam perbuatan membuli pelajar lain.
MRSM bukan tempat untuk melahirkan generasi samseng seperti ‘anakku Sazali’ tetapi melahirkan generasi yang berguna untuk bangsa, agama dan negara. Apa gunanya otak bijak dalam pelajaran sehingga mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan tetapi jiwa tertunas benih untuk menjadi samseng.
Kepada ibu bapa yang anak mereka dibuang dari MRSM, fikirkanlah masak-masak sebelum bertindak. Bukan apa, bimbang nanti ketika perbicaraan lebih banyak perangai buruk anak mereka terdesak.
Lebih baik mereka berusaha memperbaiki perangai buruk anak mereka, mungkin apa yang dilakukan oleh seorang pelajar yang menjadi pembuli itu bukan salah ibu bapa tetapi disebabkan pengaruh kawan-kawan.
Justeru berusaha memperbetulkan sikap anak mereka dan bukannya asyik mahu menyalahkan pihak lain. Sikap seumpama itu jika diteruskan akan menghancurkan masa depan pelajar berkenaan kerana dia merasakan ibu bapanya tetap memihak kepadanya biar apapun kejahatan dilakukan. Semoga tidak sampai pada tahap itu.