5 remaja mengaku tidak bersalah guna perkataan mencela terhadap Zara Qairina

LIMA remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap seorang pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, bulan lepas.
Kesemua remaja berumur bawah 18 tahun itu yang identiti mereka tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, pada prosiding tertutup.
Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan berkenaan.
Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah di Papar antara jam 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata setiap tertuduh terbabit dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Beliau berkata, mahkamah kemudian menetapkan tarikh 25 September depan untuk sebutan semula kes.
Katanya, hanya perkara itu boleh didedahkan, manakala hal lain yang berkaitan dengan prosiding tidak boleh didedahkan berikutan perintah larangan dikeluarkan mahkamah.
Selain Nor Azizah, pihak pendakwaan turut dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, dan Deepa Nair Thevaharan.