Mahkamah Persekutuan tolak rayuan peguam negara halang semakan kewujudan Titah Adendum

‘’Buat masa ini, titah tambahan itu wujud dan statusnya, sama ada sah atau benar, perlu dipastikan dalam perbicaraan penuh.’’ – Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
SEMAKAN kehakiman Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkaitan kewujudan Titah Adendum akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Keputusan itu diputuskan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Ia sekali gus menolak rayuan Peguam Negara untuk menghalang supaya semakan yang dikemukakan Najib itu didengar. Menerusi keputusan mahkamah tertinggi itu, semakan tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi seperti tarikh-tarikh yang akan ditetapkan.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Hakim Zabariah ketika membacakan keputusan itu berkata, persoalan sama ada Titah Adendum itu wujud atau sah hanya boleh ditentukan pada peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
“Buat masa ini, titah tambahan itu wujud dan statusnya, sama ada sah atau benar, perlu dipastikan dalam perbicaraan penuh. Kami tidak menganggap wajar atau adil untuk memberi sebarang pandangan mengenai perkara ini pada peringkat sekarang,” katanya lapor Astro Awani.
Pada 9 Julai lalu, panel berkenaan selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Ia bagi memutuskan sekiranya rayuan Peguam Negara ditolak, semakan itu akan diteruskan di Mahkamah Tinggi.
Namun jika rayuan dibenarkan, hasrat Najib untuk meneruskan semakan kehakiman ini bagi mendapat perintah mandamus supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah akan berakhir.
Dalam prosiding terdahulu, ketika berhujah, Muhammad Shafee antara lain menyatakan bahawa Peguam Negara sepatutnya berterus-terang dari awal bahawa Titah Adendum berkenaan wujud.
Hujah beliau, Peguam Negara sewajarnya melaksanakan kewajipan secara jujur (duty of candour) pada peringkat prosiding, namun Mahkamah Tinggi sebaliknya bertindak membantah kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Najib.
“Anak guam saya sudah bertindak sewajarnya untuk mendapatkan pengesahan mengenai kewujudan dokumen berkenaan. Malah, dokumen itu hanya diperoleh oleh anak beliau, Datuk Mohamad Nizar, selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak permohonan semakan,” katanya.
Sementara Mohd Dusuki dalam hujahannya berkata, Najib dan anaknya Mohamad Nizar tidak mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan Titah Adendum, walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Hujah beliau, Mohd Nizar yang juga Exco berpeluang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta-merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.