Maut ditikam di UK: Jenazah sukarelawan Masjidilharam dikebumi di Mekah | Madani News

Maut ditikam di UK: Jenazah sukarelawan Masjidilharam dikebumi di Mekah

Maut ditikam di UK: Jenazah sukarelawan Masjidilharam dikebumi di Mekah

PELAJAR Arab Saudi Mohammed Al-Qasim, yang ditikam hingga mati di United Kingdom (UK)  Jumaat lepas dikebumikan di tanah perkuburan Al-Shuhada di Mekah, semalam.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dari UK dan dihantar ke tanah perkuburan tersebut selepas disolatkan di Masjidilharam – tempat di mana Allahyarham bertugas secara sukarela melayan jemaah umrah dan haji.

 Al-Qasim, 20 yang merupakan pelajar bahasa Inggeris meninggal dunia selepas ditikam sebelum tengah malam Jumaat 1 Ogos lalu. Di Cambridge.

 Agensi berita Al-Arabiya melaporkan, berikutan kejadian itu dua lelaki ditahan, seorang berusia 21 tahun yang disyaki melakukan pembunuhan manakala seorang berusia 50 tahun disyaki membantu perbuatan jenayah tersebut.

Lelaki berusia 21 tahun itu, Chas Corrigan dibawa ke mahkamah minggu ini atas tuduhan membunuh dan memiliki senjata di tempat awam.

Jenazah Mohammed Al-Qasim diusung untuk dikebumikan selepas disolatkan di Masjidilharam.

Sementara itu sebanyak Riyal 1.8 juta (RM2.16 juta) derma bagi menghormati Allahyarham dikumpulkan setakat ini. 

 Persatuan Kebajikan Masjid Jalanan (PKMJ) atau Road Mosques Care Association ialah sebuah pertubuhan amal berjaya mengumpul derma sebanyak  Riyal 1.7 juta (RM2.04 juta) dalam masa dua hari.  Terdapat lebih daripada 38,628 penderma dengan rekod tertinggi sumbangan adalah sebanyak Riyal 20,000 (RM24,000).

 Kutipan itu akan digunakan untuk membina masjid atas nama Mohammed Al-Qasim sebagai mengingati Allahyarham.

 Pada masa yang sama kutipan derma juga dilakukan oleh sebuah lagi persatuan amal iaitu Ehsan. Setakat ini ia berjaya mengumpul derma sebanyak Riyal 90,057 (RM108,068) dan ia akan digunakan untuk menyediakan bekalan air untuk keluarga memerlukan di Arab Saudi.