“Nila lebih baik daripada racun” – Akmal sambut sokongan Tok Mat, sindir serangan Pemuda DAP

KETUA Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, selepas menerima kecaman bertubi-tubi daripada Pemuda DAP berhubung isu Jalur Gemilang.
Dalam hantaran di Facebook, Akmal menyifatkan sokongan Tok Mat jauh lebih bernilai berbanding kritikan keras daripada pihak lawan.
“Kerana nila lebih baik daripada racun. Terima kasih Tok Mat,” tulisnya sambil berkongsi tangkap layar laporan Malaysiakini yang menyiarkan kenyataan Pemuda DAP bertajuk ‘Pemuda DAP gesa Mohamad tak pertahan nila setitik’.
Sebelum ini, Mohamad mempertahankan Akmal dengan menegaskan tindakan tidak boleh hanya diambil ke atasnya selepas menganjurkan perhimpunan di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Tok Mat pesan Pemuda DAP lebih rasional
Semalam, Mohamad menasihatkan DAP supaya mengawal sayap Pemudanya dan kembali berfikir secara rasional. Beliau turut mengingatkan agar tidak membuat keputusan terburu-buru sehingga boleh menyulitkan perjalanan kerajaan perpaduan.
Kenyataan itu dibuat selepas beberapa negeri Pemuda DAP mendesak parti mereka memutuskan kerjasama politik dengan Akmal.
Mohamad juga mempertahankan perhimpunan yang diketuai Akmal di Kepala Batas, menyifatkannya sebagai “misi aman” dan menegaskan tiada insiden tidak diingini berlaku walaupun provokasi timbul.
Pemuda DAP: ‘Jangan lindungi nila setitik’
Namun, Majlis Eksekutif Pemuda DAP membalas dengan mendesak Mohamad memberi nasihat kepada Akmal terlebih dahulu. Mereka menegaskan Akmal berulang kali mencetuskan ketegangan kaum serta menjejaskan kestabilan politik.
“Jangan terus mempertahankan nila setitik,” kata kenyataan itu, sambil menyifatkan tindakan Akmal berbau “perangai samseng”.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi turut tampil mempertahankan Akmal.
Katanya, tidak wajar pemimpin yang mempertahankan Jalur Gemilang dilabel sebagai “samseng politik”.
“Dr Akmal dan Pemuda Umno bukan mahu merusuh. Itu hak mereka untuk berhimpun,” katanya.
Akmal sebelum ini mengetuai perhimpunan di luar sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas selepas pemiliknya disiasat kerana memasang Jalur Gemilang secara terbalik.