Nota bantahan UMNO kepada parti gabungan kerajaan hanya buang masa! | Madani News

Nota bantahan UMNO kepada parti gabungan kerajaan hanya buang masa!

Nota bantahan UMNO kepada parti gabungan kerajaan hanya buang masa!

Tidak perlu UMNO membuang masa menghantar protes berbentuk amaran keras tersebut. Lagipun apabila seseorang sudah keluar daripada UMNO atau mana-mana parti, ia berhak mengatur strategi politiknya sendiri.

ANALISIS

MAJLIS Tertinggi UMNO malam tadi memutuskan untuk menyampaikan nota bantahan kepada semua kepimpinan parti gabungan kerajaan perpaduan yang bercadang atau sudah mengizinkan kemasukan ahlinya ke dalam parti masing-masing.

Kata  Setiausaha Agung Dr. Asyraf Wajdi Dusuki  “Protes ini merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti gabungan”.

 Walaupun Asyraf Wajdi menggunakan perkataan ‘protes’ dan ‘amaran keras’ namun bagi penulis ia tidak akan memberi kesan apa-apa sebaliknya ia boleh dianggap ibarat sekadar ‘mahu melepaskan geram’ sahaja.

 Semua orang tahu protes itu adalah lanjutan daripada keputusan PKR yang menerima Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai ahli parti itu selepas beliau meletakkan jawatan dan keluar UMNO pada 30 Mei lalu.

 Masihkah kita ingat, ketika Tengku Zafrul mengumumkan keputusannya untuk berbuat demikian dan melahirkan hasrat menyertai PKR, beberapa pemimpin kanan UMNO termasuklah Asyraf Wajdi serta Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tidak wajar jika komponen dalam Kerajaan Perpaduan mengambil ahli sesama mereka.

Tetapi soalnya adakah bantahan itu dipedulikan oleh PKR? Adakah PKR membuat keputusan menolak hasrat Tengku Zafrul? Semua itu tidak berlaku, sebaliknya Tengku Zafrul diterima menjadi ahli PKR Cabang Ampang.

Ia  sekaligus memberi isyarat awal beliau akan bertanding di situ paling lambat pada pilihan raya umum akan datang atau paling cepat melalui pilihan raya kecil (PRK) yang mungkin diadakan bagi membolehkan Tengku Zafrul yang akan tamat tempoh senator pada penghujung tahun ini terus berada dalam Kabinet.

Oleh itu tidak perlu UMNO membuang masa menghantar protes berbentuk amaran keras tersebut. Lagipun apabila seseorang sudah keluar daripada UMNO atau mana-mana parti, ia berhak mengatur strategi politiknya sendiri.

Beliau bebas memilih parti mana ingin disertai kerana itu hak demokrasi individu yang tidak boleh  dihalang. Oleh itu kenapa UMNO mahu kecoh sangat dengan penerimaan Tengku Zafrul sebagai ahli PKR?

Bukankah dalam pilihan raya umum akan datang UMNO akan terus bekerjasama dengan PH? Jika Tengku Zafrul menang di Ampang bukankah ia juga akan menguntungkan UMNO sebagai salah satu rakan strategik bagi membentuk kerajaan?

Daripada terus meratap hiba terhadap tindakan Tengku Zafrul dan keputusan PKR adalah lebih baik, MT UMNO menarik balik penggantungan dan menjemput semula mereka yang dipecat daripada parti itu.

Ia memandangkan kesemua mereka boleh menjadi aset kepada UMNO seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan. Tidak payahlah menganggap mereka yang berkenaan ego kerana tidak mahu membuat rayuan, sedangkan MT UMNO lebih ego lagi apabila ada antara mereka dihukum tanpa diberitahu apa kesalahannya.

Lagipun, senang cakap , pemberian nota bantahan itu ibarat sebuah negara kecil yang terhutang budi kepada AS menghantar nota bantahan kepada negara kuasa besar itu…kita pasti tahu apa reaksi AS, betul tak?