Peguam wakili remaja tertuduh dan wakil ibu Zara, dibenar sertai prosiding inkues | Madani News

Peguam wakili remaja tertuduh dan wakil ibu Zara, dibenar sertai prosiding inkues

Peguam wakili remaja tertuduh dan wakil ibu Zara, dibenar sertai prosiding inkues

MAHKAMAH Koroner di Kota Kinabalu, hari ini membenarkan permohonan pasukan peguam mewakili Noraidah Lamat, sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang bermula Rabu depan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan sama dibuat barisan peguam mewakili kelima-lima remaja tertuduh yang didakwa terbabit kes buli Zara Qairina 20 Ogos lalu

Kebenaran itu dibacakan Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Hakim Azreena Aziz yang bersidang sebagai koroner selepas pasukan peguam diketuai Hamid Ismail memfailkan permohonan berkenaan pada 19 Ogos lalu sehari selepas sebutan inkues terbabit.

Manakala peguam tertuduh telah membuat permohonan itu semalam melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) walaupun dibantah pihak peguam ibu Zara Qairina, Noraidah, lapor BH Online.

Deklarasi terbabit membolehkan anak guam masing-masing untuk memeriksa, menyoal balas saksi dan meneliti dokumen, bagi membantu koroner.

Noraidah turut hadir pada sesi pendengaran permohonan pihak berkepentingan inkues dan tiba di Mahkamah koroner Kota Kinabalu pada 8.50 pagi diiringi pasukan peguamnya.

Pada sesi pendengaran permohonan itu Noraidah diwakili pasukan peguam, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan dan Farrah Nasser.

Manakala peguam mewakili kesemua remaja tertuduh yang didakwa terlibat kes buli Zara Qairina 20 Ogos lalu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh, Prem Elmer Ganasan, Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Pegawai pengendali inkues yang hadir pula terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.

Mahkamah Koroner turut dimaklumkan kesemua dokumen berkaitan inkues akan diserahkan kepada peguam untuk diteliti sehari sebelum inkues bermula manakala senarai saksi akan di maklumkan selewat-lewatnya esok.

Wakil Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Adrian Cham turut hadir sebagai pemerhati pada sesi tadi dan SLS akan terus bertindak sebagai pemerhati sepanjang prosiding berlangsung.

Pada 18 Ogos lalu Mahkamah koroner di sini menetapkan tarikh 19 hari September depan tempoh bersidang iaitu masing-masing pada 3 dan 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19, dan 22 hingga 30 September sebagai tarikh prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.

Pada 20 Ogos lalu lima remaja dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia pada keesokannya harinya.

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat liputan meluas termasuk di media sosial apabila ia dikaitkan dengan dakwaan perbuatan buli di sekolah terbabit. – MADANI NEWS