Pembayaran STR Fasa 3 bermula hari ini, RM2 bilion dikreditkan ke akaun bank 8.6 juta rakyat | Madani News

Pembayaran STR Fasa 3 bermula hari ini, RM2 bilion dikreditkan ke akaun bank 8.6 juta rakyat

Pembayaran STR Fasa 3 bermula hari ini, RM2 bilion dikreditkan ke akaun bank 8.6 juta rakyat

PEMBAYARAN Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan mula dikreditkan kepada penerima secara berperingkat mulai hari ini, membabitkan seramai 8.6 juta penerima di seluruh negara.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, dengan peruntukan RM2 bilion, jumlah bayaran adalah dari RM150 hingga RM650 bergantung kepada kelayakan isi rumah, warga emas dan bujang.

Menurut kenyataan itu, jumlah penerima seramai 8.6 juta itu adalah peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari lalu.

Peningkatan berkenaan hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, berkata pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.

“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” katanya.

MOF turut memaklumkan, pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

Solan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my. – MADANI NEWS