Pembinaan MPMS bermula, bakal jadi kapal terbesar dalam sejarah Maritim Malaysia

PEMBINAAN Multi-Purpose Mission Ship (MPMS), kapal terbesar dalam sejarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), secara rasmi bermula semalam menerusi upacara Keel Laying di limbungan DESAN Kaptanoğlu Shipyard, Turkiye.
Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kejuruteraan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rizal Hishamuddin, bersama Pengarah Projek MPMS, Kepten Maritim Mohammad Nasir Man.

Mohd Rizal menjelaskan, Keel Laying merupakan tradisi industri pembinaan kapal yang menandakan permulaan aktiviti penyambungan blok utama selepas majlis steel cutting pada 9 Julai lalu.
“Fasa awal ini melibatkan pemasangan blok 107, 108, 207 dan 208 yang membentuk bahagian tengah kapal. Tradisi ini bukan sahaja simbolik, malah menandakan permulaan pembinaan aset strategik negara,” katanya.
MPMS berukuran 99 meter panjang dan 17 meter lebar, direka untuk beroperasi di laut dalam sehingga 28 hari tanpa ulang bekal. Kapal ini akan digunakan bagi pengawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan memantau kawasan yang sukar dicapai oleh kapal kecil.
Dilengkapi pelbagai teknologi pertahanan canggih seperti kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), meriam 30mm, radar X dan S band, tapak pendaratan helikopter, Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan empat bot Fast Interceptor Craft, MPMS mampu bergerak pada kelajuan 20 knot. Kapal ini boleh menempatkan 70 anak kapal dan 20 penumpang, selain memiliki bilik rawatan dan bilik tahanan.
Projek ini turut mendapat kerjasama syarikat pertahanan Turkiye seperti ASELSAN dan HAVELSAN yang bertanggungjawab mengintegrasikan sistem persenjataan, elektronik dan komunikasi canggih.
Pengerusi Lembaga DESAN Kaptanoğlu Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoğlu, berkata kejayaan mencapai fasa Keel Laying dalam tempoh singkat selepas kontrak dimeterai pada 20 Mei lalu membuktikan kecekapan dan komitmen semua pihak.
“Blok keluli yang dipasang hari ini menjadi tulang belakang MPMS dan simbol hubungan strategik Turkiye–Malaysia dalam memperkukuh keselamatan maritim. Kami yakin kapal ini dapat disiapkan lebih awal daripada jadual iaitu Mac 2027,” katanya.
Apabila siap kelak, MPMS akan menjadi aset utama Maritim Malaysia bagi memelihara keselamatan perairan negara serta membanteras jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan aktiviti perikanan haram di laut lepas. – MADANI NEWS