‘Perang mulut’ Akmal dan pemimpin DAP berterusan
‘’SEBIJI perangai babi hutan’’ Itulah sindiran keras yang dihamburkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dri.Akmal Saleh selepas digelar ‘berperangai seperti anjing liar’ oleh bekas ADUN Selangor, Teng Chang Kim sekaligus menghangatkan pertelingkahan antara beliau dengan pemimpin DAP.
Melalui Facebooknya, Akmal yang mempertahankan diri berikutan dakwaan Pemuda DAP (DAPSY) beliau menghina golongan orang kelainan Upaya (OKU) berkata;
‘’Bila kita pertahankankan lambang bendera Malaysia dan tak ada lagi isu yang mereka nak pertahankan akhirnya mereka tuduh kita pula sebagai anjing liar.
“Inilah perangai pemimpin mereka… Bukan hanya yang muda sahaja yang bengap, tetapi pemimpin senior pun bengap juga rupanya. Sebiji perangai babi hutan,” katanya.
Isu tersebut berbalas kenyataan antara kedua-dua pihak bermula selepas DAPSY mengkritik tindakan Akmal yang beberapa kali membangkitkan isu bendera Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik di sebuah sekolah Cina di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Susulan insiden tersebut, Akmal menggesa tindakan tegas diambil dan meminta pihak berkuasa menyiasat kenyataan ADUN Lukut, Choo Ken Hwa, yang mendakwa kesilapan itu dilakukan oleh seorang pekerja OKU.
Akmal turut menegaskan bahawa bendera negara perlu dihormati dan bukan diperlekehkan.
Sementara itu Malaysiakini melaporkan, Timbalan Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Bagharib Ali menggesa perang mulut tidak berkesudahan antara pemimpin parti itu dan sekutunya UMNO dihentikan.
Katanya, pertelingkahan berkaitan kontroversi pemasangan bendera Malaysia terbalik di Negeri Sembilan itu sudah menjadi “populariti murahan dengan maki-memaki”.
“Sepatutnya kita bincang dasar. Bincang polisi. Rakyat perhati. Macam tonton filem Labu Labi. Watak Labu (M Zain) beritahu kat Labi (P Ramlee): ‘Ini kepala bapak kau.’ Labi balas pada Labu, ‘Ini pula kepala bapak kau.’ Lepas itu sama-sama pijak dan bertelingkah. Dapat apa?” katanya.