Petronas berisiko hilang berbelas bilion ringgit, rundingan dengan Petros perlu cermat – Rafizi

PETRONAS berisiko kehilangan antara RM15 bilion hingga RM20 bilion setahun jika pertimbangan struktur kewangan sedia ada tidak dilakukan secara menyeluruh berhubung tuntutan Sarawak terhadap hasil gas.
Ketika menegaskan perkara itu, bekas Menteri Ekonomi Datuk Rafizi Ramli yang memgingatkan jumlah tersebut bukanlah kecil berkata, rundingan antara Petronas dan Petros mengenai pemilikan dan pengagihan hasil gas perlu diurus dengan penuh cermat.
‘’Pelaksanaan yang cuai boleh mengundang padah kepada ekonomi secara keseluruhan, ‘’ katanya dalam program ‘Yang Berhenti Menteri’ malam tadi.
Beliau berkata, Petronas ketika ini menyumbang sekitar RM30 bilion hingga RM35 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan dan ika jumlah itu berkurangan, kesannya langsung kepada kemampuan negara membiayai perkhidmatan asas.
‘’Petronas merupakan penyumbang utama kepada hasil negara. Dividen tahunan syarikat itu membiayai pelbagai perkhidmatan awam seperti sekolah, hospital, prasarana, bayaran pencen, dan gaji kakitangan kerajaan termasuk di Sarawak.
“Walaupun duit itu tak masuk poket kerajaan negeri, sekolah, hospital, jalan raya di Sarawak dibina guna dana persekutuan hasil dividen Petronas. Kalau Petronas hilang RM20 bilion, syarikat itu pun akan hilang kemampuan membayar RM35 bilion dividen kepada kerajaan Persekutuan,’’ katanya.
Beliau berkata keadaan itu akan menyebabkan penarafan kredit negara boleh merosot dan ia bermakna kos pinjaman kerajaan akan meningkat secara mendadak.
‘’Malaysia kini membayar kira-kira RM48 bilion setahun untuk faedah hutang – jumlah yang boleh melonjak ke RM60 bilion jika penarafan kredit jatuh akibat ketidaktentuan dalam industri minyak dan gas,’’ katanya.
Rafizi menegaskan walaupun rakyat Sarawak memang berhak mendapat lebih banyak hasil daripada sumber bumi negeri Kenyalang itu namun pendekatan untuk menuntut hak itu perlu dibuat secara berhemah.
“Kalau pelabur lihat negara tidak stabil dari segi dasar minyak dan gas, mereka akan tarik diri. Industri ini memerlukan pelaburan awal berbilion ringgit. Kalau pelabur rasa cuaca politik tak menentu, mereka akan pergi ke Indonesia, Surinam, atau tempat lain,” katanya.
Beliau berkata, rundingan antara kerajaan negeri dan Petronas harus menghasilkan penyelesaian menang-menang.
“Saya setuju Sarawak patut dapat lebih. Tapi kita kena cari cara yang tidak jejaskan industri, tidak jejaskan kemampuan Petronas, dan tidak jejaskan negara. Penstrukturan semula hasil minyak perlu dilakukan melalui pelaburan pembangunan bukan sekadar ‘bagi duit’ dan bukan meminggirkan struktur ekonomi negara yang sedia tertekan,’’ katanya.