PM Anwar lancar ILMU – Model AI buatan Malaysia dilatih dengan data, budaya tempatan

MALAYSIA kini melangkah ke pentas teknologi global dengan pelancaran ILMU, model kecerdasan buatan (AI) pelbagai mod pertama buatan tempatan yang dilatih sepenuhnya dengan data dan budaya Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merasmikan model ini dalam Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 di MITEC hari ini. Dibangunkan oleh YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya, ILMU direka untuk memahami bahasa, konteks, dan realiti kehidupan rakyat Malaysia – sesuatu yang jarang dimiliki oleh model AI asing.
Nama ILMU bukan sekadar jenama, tetapi singkatan kepada Intelek Luhur Malaysia Untukmu – melambangkan kecerdasan yang peka konteks, berteraskan nilai etika, fasih budaya dan bahasa tempatan, serta dibina untuk berkhidmat kepada rakyat.
YTL AI Labs mendakwa ILMU setanding dengan model AI terkemuka seperti GPT-4o dan Llama 3.1. Malah, ia mencatat skor tertinggi dalam ujian MalayMMLU – penanda aras pengetahuan pelbagai domain dalam bahasa Melayu – mengatasi semua model AI generasi terkini.
Akses Awam Bermula Hari Malaysia
Versi pengguna, ILMUchat, akan dibuka untuk akses awal pada 16 September 2025, bersempena sambutan Hari Malaysia. Orang ramai boleh mendaftar minat di laman web rasmi ilmu.ai.
Berbeza dengan AI antarabangsa yang menyimpan data di luar negara, ILMU menempatkan semua data di Malaysia – memberikan kawalan strategik terhadap keselamatan dan masa depan teknologi negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menyifatkan pelancaran ILMU sebagai satu langkah besar dalam memperkasa rakyat dan perniagaan tempatan di era digital. “Ini lebih daripada sekadar teknologi; ia adalah perisai identiti budaya kita,” katanya.
Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, pula menyifatkan ILMU sebagai bukti komitmen YTL terhadap inovasi yang berakar dalam kepelbagaian budaya dan kepintaran Malaysia.
Dengan pelancaran ini, Malaysia bukan sekadar pengguna AI – tetapi kini menjadi pemain global yang mampu bersaing dengan gergasi teknologi dunia. – MADANI NEWS